Gambar terakhir arwah sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. FOTO ihsan Anita
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Datin Anita Rafar, 54, reda saat mengetahui suaminya, Datuk Zainal Osman Mohd, 73, disahkan meninggal dunia dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Dubai kelmarin.

Anita yang juga kakak kepada penyanyi dan pelakon, Linda dan Diana Rafar berkata, kali terakhir mereka berhubung menerusi kiriman mesej sebelum suaminya menaiki pesawat.

"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh anak perempuan kami yang menemani perjalanannya ke sana. Sejurus pesawat itu melakukan pendaratan di Mumbai, India dia terus menghubungi saya pada jam 5 pagi semalam (kelmarin) (waktu Malaysia).

"Saya difahamkan arwah terjatuh selepas keluar dari tandas pesawat. Menyedari kejadian itu anak kapal terus memberikan bantuan pernafasan namun gagal. Disebabkan tidak ada pegawai perubatan atau doktor di dalam kapal, penerbangan terpaksa mendarat di lapangan terbang berdekatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Anita, arwah suaminya itu pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 20 tahun lalu.

Seminggu sebelum berangkat ke Dubai, arwah suaminya sempat bergurau yang mana dia mahu meninggal dunia dalam keadaan jihad iaitu di Tanah Arab.

"Ketika berangkat ke sana keadaan kesihatan suami baik. Cuma seminggu sebelum itu dia selalu berkata yang mana tujuannya ke sana adalah untuk menjalani perniagaan secara jihad. Dalam erti kata lain untuk membantu golongan memerlukan.

"Dia juga berkali-kali berkata nak meninggal dunia dalam keadaan jihad dan kalau boleh meninggal di kawasan Tanah Arab. Ketika itu saya beranggapan kata-katanya sebagai gurauan. Tetapi tak sangka pula dia meninggal di kawasan perairan negara Arab," katanya.

Anita berkata, arwah suaminya juga pernah menyatakan hasrat untuk membina rumah orang-orang tua.

"Insya-Allah saya cuba untuk melaksanakan niat arwah itu walaupun sebenarnya ia masih dalam perancangan," katanya.

Suami dan anaknya ke Dubai atas urusan perniagaan selama seminggu dan dijadualkan tiba di tanah air pada tengah hari semalam waktu tempatan.

Anita memaklumkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

Arwah meninggalkan seorang balu dan lapan anak. Empat lelaki dan empat perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:37 PM