FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Johor Bahru menahan sebuah kapal minyak kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai dekat Pontian, pagi semalam.

Dalam kejadian 9 pagi itu, kapal MT Zolotoj Most itu dikesan bersauh di kedudukan kira-kira 3.5 batu nautika tenggara perairan Tanjung Piau ketika kapal peronda APMM menjalankan tugas Operasi Satria Selatan / Operasi Zuhal.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kapal yang berdaftar di Russia itu kemudian ditahan atas kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk berlabuh tunggu.

"Kapal itu juga didapati melakukan kesalahan berlabuh di kawasan larangan bersauh di had pelabuhan Tanjung Pelepas.

"Seramai 25 krew warga Russia berusia 24 hingga 59 tahun ditemui dalam kapal terbabit sebelum tiga daripadanya dibawa ke pejabat APMM Daerah Maritim Johor Bahru untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 2:43 PM