CABARAN makan durian paling cepat.
CABARAN makan durian paling cepat.
DURIAN Hunt anjuran FAMA didik peserta mengenai kepelbagaian raja buah.
DURIAN Hunt anjuran FAMA didik peserta mengenai kepelbagaian raja buah.
Zaitie Satibi


Ramai maklum durian Musang King dengan isinya yang kuning keemasan, berkilat dan tebal. Tekstur isinya pula cukup halus, melekit dan berkrim, manakala rasanya lemak manis, sedikit pahit dan mempunyai aroma yang kuat.

Namun, ramai yang tidak tahu durian itu ada pasa­ngannya, durian Musang Queen. Nama asal durian ini adalah durian Tekka atau Buluh Bawah sebelum dijenamakan semula kepada durian Musang Queen pada Disember tahun lalu.

Demikian maklumat bermanfaat mengenai jenis durian di negara ini yang diperoleh peserta Durian Hunt anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berlangsung selama tiga hari dua malam membabitkan lokasi Bentong dan Raub di Pahang, Kuala Kubu Bahru di Selangor, Ipoh dan Kuala Kangsar di Perak serta Balik Pulau, Pulau Pinang, dengan jarak 476 kilometer, baru-baru ini.

Sebanyak 20 pasukan terdiri empat anggota bagi setiap pasukan dengan masing-masing mempunyai peranan sebagai pemandu kenderaan, pembaca arah dan dua penyelesai soalan menyertai acara berkenaan yang menawarkan ganjaran wang tunai RM10,000 sebagai hadiah utama.

Ketahui Jenis Durian

Durian Musang Queen adalah klon durian dengan kod pendaftarannya D160 berasal dari Banting, Selangor dan didaftarkan oleh pemilik asal pokok, Lim Hai Chua, di Jabatan Pertanian pada 1987. Ciri khas durian ini dengan buahnya berbentuk seakan-akan simbol hati atau cinta, bulat lonjong, besar di atas dan kuncup di bawah serta lekukan pada pangsa.

Isinya berwarna krim kekuningan, tebal dan teksturnya halus pekat, manakala rasanya lemak manis, pahit dan bergas. Aromanya juga kuat, ulasnya besar dan empulurnya berongga, manakala kulit­nya tipis dan mudah dikupas.

Ada kira-kira 200 jenis durian klon di Malaysia, tetapi rata-rata hanya mengenali Musang King (D197), Udang Merah (D175) dan Sultan atau D24. Banyak lagi klon durian bermutu tinggi seperti Kop Kecil (D99), Chanee (D123 ), Beserah (D145), Tok Litok (D169) dan Duri Hitam (D200).

Pernahkah anda mendengar durian Datuk Nina (D2) atau durian Haji Abu (D38)?.

Banyak lagi klon durian yang jarang didengari jenisnya seperti Ular Kekek (D107), Gombak (D117), Eddie Special (D132), Tangkai Panjang (D158), Raja Hutan (D195), Foo Fat (D135), Katoi (D98) dan Emas Enggang (D111).

Program Julung Kali Fama

Acara pelepasan disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan dianjurkan sempena program makan buah-buahan tempatan, Fiesta Durian 2016, yang berlangsung akhir Mei lalu sehingga September ini.

Pada hari pertama perlumbaan, peserta diminta menjawab lima soalan berbentuk teka-teki yang berkisar mengenai jenis durian di pusat bandar Bentong dan lima soalan lagi sepanjang perjalanan menuju hentian pertama di Rumah Durian Raub.

Selepas menyerahkan jawapan di hentian berkenaan, peserta menyertai dua cabaran iaitu teka jenis durian dan makan durian terpantas. Mereka kemudian meneruskan perlumbaan ke Kuala Kubu Baru dan Ipoh sebelum berhenti rehat.

Cabaran hari kedua membawa peserta ke bandar Kuala Kangsar dan menjawab 10 soalan sebelum ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kuala Kangsar untuk lawatan ke dusun durian. Peserta juga dikehendaki melakukan cabaran meneka jenis durian menerusi daunnya dan mengutip durian gugur paling banyak.

Selepas makan tengah hari, perlumbaan menjawab soalan diteruskan ke kawasan Rawat dan Rehat Gunung Semanggol sebelum peserta bergerak menuju destinasi seterusnya ke Queensbay, Pulau Pinang untuk menjawab tujuh lagi soalan. Destinasi terakhir perlumbaan Durian Hunt adalah Balik Pulau untuk menyerahkan jawapan dan tiga barang berkaitan durian.

Perlumbaan Sangat Mencabar

Bagi jurutera, Imaliana Muzni, 28, perlumbaan Durian Hunt sangat mencabar mental dan fizikalnya kerana tidak saja perlu menjawab lebih 40 soalan yang penuh teka-teki, malah jarak perjalanan mem­babitkan lima negeri dalam tempoh tiga hari dua malam.

“Ini adalah program perlumbaan kali keempat saya sertai. Namun, ia berbeza dengan program perlumbaan lain yang biasanya mengambil masa kira-kira sehari.

“Perjalanan paling mencabar ketika menggunakan laluan Bukit Fraser dari Raub ke Kuala Kubu Baru sejauh 65 kilometer kerana jalannya yang bengkang-bengkok. Kami juga perlu berhati-hati kerana laluannya yang sempit ditambah cuaca buruk apabila hujan sepanjang perjalanan,” katanya.

Menurutnya, perlumbaan Durian Hunt itu juga secara tidak langsung membawanya menjelajah ke lokasi terkenal penghasilan durian dan belajar banyak ilmu bermanfaat mengenai raja buah itu.

Jadikan Produk Pelancongan

Menurut pegawai pelancongan, Mohd Rafizi Abdul Razak, 32, penganjuran perlumbaan Durian Hunt wajar diadakan setiap tahun kerana peserta berpeluang menjelajah lokasi penghasilan durian di seluruh negara.

“Sebelum menyertai perlumbaan ini, pasukan saya melakukan ulang kaji me­ngenai jenis durian sebagai persediaan untuk menjawab soalan dan menerusi usaha ini saja kami sudah dapat banyak ilmu mengenai buah ini.

“Dalam perlumbaan ini, kami juga diberi penera­ngan mengenai penanaman durian dan teknologi digunakan. Saya sendiri baru tahu banyak lagi jenis durian ditanam di negara ini selain jenis yang biasa didapati di gerai jualan buah-buahan tempatan.

“Saya berharap pihak penganjur dapat meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang kerana ia mampu menarik minat bukan saja penggemar durian, malah pelancong asing yang dapat mengenali lebih dekat negara kita hanya melalui buah-buahan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:02 AM