PEMAIN cilik turut berlatih menendang bola.
Nurul Husna Mahmud


Kerjasama Sekolah Kebangsaan Danau Kota Kuala Lumpur bersama Akademi Bola Sepak RBZ Legacy menerusi Projek Akademi Bola Sepak (PABS) yang dilancarkan baru-baru ini sejajar dengan objektif Kementerian Belia dan Sukan.

Penganjuran PABS dilihat menggerakkan pembangunan bola sepak akar umbi di peringkat daerah mahupun negeri. Di sisi lain ia mampu mencungkil bakat muda seawal usia sekolah rendah menerusi latihan teknik serta kemahiran bola sepak betul daripada jurulatih luar.

Hindar aktiviti sia-sia

Penaung PABS Dr Hanafiah Bashirun, berkata penganjuran PABS dapat mengisi hujung minggu dengan aktiviti manfaat.

“Kita faham cabaran anak zaman ini persaingan dengan dunia gajet dan berharap penubuhan PABS dapat mengalih perhatian mereka.

“Jadi mereka tidak akan hanya bergantung kepada komputer, telefon pintar serta tablet sebaliknya mengisi masa terluang dengan aktiviti menyihatkan badan seperti bola sepak.

“PABS membuka peluang kanak-kanak seawal 4 tahun hinggalah 12 tahun mendapat tunjuk ajar jurulatih berpengalaman. Mereka diasuh seawal mungkin untuk menjadi perintis kepada pemain profesional,” katanya.

Jurulatih dan juga pengasas Akademi Bola Sepak RBZ Legacy Mohd Rozi Abd Halim, berkata akademi ditubuhkan bersama dua rakannya, Zubair Hashim dan Badrul Hisham Mohd Isa membantu meningkatkan mutu permainan seawal peringkat sekolah lagi.

“Impian kami selaku jurulatih ingin menonjolkan potensi bakat muda ke peringkat lebih baik. Mereka ini akan berpeluang berlatih seperti pemain profesional.

“Ini sekolah ketiga dan berharap lebih banyak sekolah mengambil inisiatif kerjasama dengan akademi kami dalam membantu menginjak skil serta kemahiran pemain ke tahap membanggakan,” katanya.

Pengalaman berbeza

Peserta PASB Muhazzad Haziq Rahimi Rozaini, berkata dia teruja dapat berlatih bersama teman di waktu hujung minggu.

“Seronok menyertai latihan bola di bawah jurulatih. Meskipun sedikit penat tetapi melihat cara latihan ditunjukkan sedikit berbeza dengan latihan waktu sekolah.

“Kami perlu mengikut setiap tunjuk ajar kerana ia membantu meningkatkan stamina dan konsisten. Tidak semestinya kami melatih menyepak dan menendang bola sebaliknya perlu tingkatkan kawalan bola,” katanya.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Ariffin Othman Shah Bairosh Khan, berkata waktu hujung minggu terisi dengan aktiviti diminatinya.

“Saya meminati sukan terutama bola sepak. Ada juga cita-cita untuk mewakili negeri mahupun negara kalau ada kesempatan serta peluang.

“Jadi atas sebab itu saya minta orang tua untuk mengikuti akademi bagi merasai sendiri latihan seperti pemain profesional,” katanya.

Peranan ibu bapa penting

Guru Besar sekolah berkenaan Norhayati Haron berpendapat selain inisiatif sekolah sokongan ibu bapa membantu kejayaan penubuhan akademi terbabit.

“Pihak sekolah sentiasa mencari peluang untuk kolaborasi dengan pihak luar dalam mencungkil potensi serta bakat pelajar.

“Selain akademik, sukan dilihat dapat membantu memberi impak cukup baik terhadap pelajar baik segi sahsiah serta disiplin pelajar. Atas sebab itu kami jalinkan kerjasama dengan pihak Akademi Bola Sepak RBZ Legacy.

“Tidak dinafikan peranan ibu bapa juga cukup penting dalam merangsang minat anak mereka agar terbabit dengan program sebegini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:03 AM