DAPAT banyak tawaran bawa watak berbeza bukan lagi sebagai penyeri atau perosak majlis sahaja.
DAPAT banyak tawaran bawa watak berbeza bukan lagi sebagai penyeri atau perosak majlis sahaja.
Amirul Haswendy Ashari


Selama 20 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni, pelbagai asam garam dalam kehidupan dilalui Saiful Apek, 47.

Membintangi puluhan filem sebagai watak utama hingga dijulang Bintang Paling Popular 2003 sekali gus mencipta sejarah pelawak pertama memegang gelaran itu, Apek juga terpalit kontroversi apabila didakwa terbabit penyalahgunaan dadah pada 2010.

Pelakon yang sinonim dengan dialog “yang gitu-gitu” bersyukur masih diberi peluang berlakon dalam pelbagai produksi tempatan. Terbaru dalam filem KL Vampire arahan Devan R yang kini dalam proses penggambaran.

Katanya, dia terima tawaran berlakon filem itu sebab mahukan kelainan. Malah sejak mula dberi ruang berlakon dalam filem bukan genre komedi, ia satu perkembangan yang bagus pada usianya kini.

“Saya gembira kerana kini banyak tawaran watak berbeza dan anggap ia benda baru sebab orang sedari dulu kenal saya untuk watak komedi. Dulu selalunya saya dah tahu untuk penyeri atau perosak majlis sahaja!” katanya seloroh.

Katanya, industri hiburan semakin membesar dan melahirkan banyak produksi baru.

“Pembikinan filem tempatan berdasarkan pasaran tapi sedari dulu penonton dipupuk dengan filem corak bermusim.

“Tapi bila ada peluang seperti ini, saya rasa terhormat sebab pembikin filem bukan Melayu yang banyak beri peluang berlakon dalam genre lain bukan bahasa Malaysia.

“Contohnya pertama kali ditawarkan berlakon filem Mandarin, Wedding Game pada 2007, saya terkejut pembikin mahukan saya.

“Malah selepas itu banyak lagi tawaran daripada pembikin bukan Melayu. Komitmen mereka terhadap filem berbeza berbanding pembikin filem Melayu. Saya harap isu ini dilihat dari sudut positif,” katanya.

Rancang Reunion Senario

Dalam segala pencapaian dan kejatuhan dilalui, Saiful Apek atau Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff akui pengalaman bersama Senario paling bermakna sejak menganggotai kumpulan itu pada 1998.

Kumpulan lahir daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan itu bersilih ganti keahlian sejak ditubuhkan pada 1996 seperti Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussein, Ilya Buang, Hamdan Ramli dan Yassin Yahya.

Bukan saja muncul dengan sitkom menggunakan judul sendiri, mereka turut membina jenama Senario melalui 10 filem dan lima album penuh.

Riak wajah Apek jelas ceria tatkala bercerita mengenai impian untuk menggabungkan semua ahli kumpulan Senario. Apatah lagi, impian itu pernah disuarakan awal Januari lalu di media masa tempatan.

Apek akui untuk kumpulkan semua ahli bukan mudah. Masing-masing sudah ada arah tuju sendiri. Tapi atas nama persahabatan yang dibina sejak dua dekad lalu, mereka mungkin akan kembali bersatu.

“Kami akan kembali dalam bentuk ‘showcase’ dan mungkin mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia. Buat masa ini judul awal projek khas itu ialah Senario Reunion 20 Tahun dan saya akan memastikan projek itu dilaksana pada tahun ini juga.

“Lebih tepat, dua acara besar Senario Reunion 20 Tahun akan diadakan iaitu pertama pada Oktober dan kedua pada Disember,” katanya.

Apek juga yakin Senario masih relevan untuk penonton kini. Katanya, apabila bercakap soal releven, dia sendiri tidak tahu kepada siapa harus dirujuk sisi ‘relevensi’ itu.

“Jika bercakap di segi pasaran besar (mass-market), kami ada pengikut majoriti yang sangat meminta. Tambah pula permintaan bukan saja dari dalam negara, malah dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Untuk projek ini, kita akan fokus dalam negara terlebih dulu,” katanya.

Apek berkata, untuk jadi fenomena bukan mudah. Seperti Senario, tahap komedi bukan saja melalui sitkom dan sketsa tapi melalui konsert juga sebab pernah melahirkan album.

Katanya, lagu dihasilkan yang sihat dan baik tapi tetap ada ciri-ciri jenaka dan hal ini membuatkan ia melekat seperti pita pelekat kepada generasi muda yang membesar bersama mereka.

“Apabila masyarakat menonton Senario, pasti akan mengimbau kembali zaman muda. Program lama Senario yang sering ditayangkan semula juga antara faktor utama memberi keyakinan kepada kami untuk merealisasikan Reunion Senario.

“Idea tercetus bukan sebab cuba nak bersaing dengan pelawak sedia ada tapi kagum tengok generasi baru masih kenal kami. Ia seolah legasi yang dilahirkan semula dan tidak akan habis.

“Kami pun belum tua sangat. Lagipun kami masih sekepala dan rindu untuk buat persembahan atas pentas. Percayalah, apabila dah ada atas pentas, dia jadi lain macam,” katanya ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:03 AM