MANIS penari tarian etnik mengenakan pakaian tradisional kaum tertentu.
PEMBUKAAN persembahan yang dramatik.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Gabungan tarian tradisional dan moden yang dipersembahkan generasi muda Sabah pada Festival Tari Malaysia (FTM) peringkat negeri 2014 nyata mempesonakan penonton.

Lebih gamat apabila tirai FTM dibuka dengan persembahan awal oleh gabungan peserta dan kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah yang diiringi tepukan gemuruh penonton.

Perasmian festival anjuran JKKN itu disempurnakan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Datu Rosmadi Datu Sulai yang mewakili Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming.

Sebanyak 10 kumpulan terbabit dengan festival itu, yang mana empat bertanding dalam kategori tradisional serta enam beradu kategori moden.

Kumpulan dalam kategori tradisional ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas II; Kumpulan Busak Baku, Kumpulan Sinundu Kinabalu SMK Mat Salleh dan Kumpulan Ranau Art Fusion.

Kategori moden pula mempertemukan Kumpulan Tiyyada; Skoutz 1134; Swaggar Squad; Merges Crew, Kumpulan Hype Daft Ignition dan Deekizzboyz Crew.

Penyelaras Program FTM Sabah, Farah Damayanty Ahmad berkata, program itu bertujuan menyediakan ruang dan kemudahan kepada penggiat seni tari untuk berkarya.

Katanya, FTM juga membuka peluang kepada pereka tari dan penari untuk mempamerkan persembahan beraneka, unik dan bermutu tinggi.

"Program ini secara langsung turut meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan warisan budaya bangsa," katanya.

Farah berkata, pemilihan kategori tradisional berasaskan tarian Zapin, Inang, Joget, asli dan tarian etnik Sabah dan Sarawak bagi memperkembangkan genre berkenaan dalam kalangan generasi masa kini di samping memastikan kesinambungannya.

Menurutnya, kesenian tradisional juga lambang keperibadian masyarakat Malaysia di samping berpotensi menjadi produk pelancongan negara melalui keunikan dan keindahan persembahan serta busana tarian.

"Kategori moden pula lebih tertumpu pada genre tari Street Dance saja," katanya.

Sementara itu, ahli kumpulan Ranau Art Fusion, Malcolm Alexander Benedict, 16, berkata, penyertaan kumpulannya buat kali pertama dalam FTM membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai juara kategori tradisional.

Katanya, kumpulan ditubuhkan pada 10 November 2013 itu pernah menjuarai kategori paluan gong dan tarian tradisional sumirid anjuran Walai Tokou Homestay Ranau.

"Kami tidak sangka penyertaan kami kali ini membuahkan hasil dan kami bersyukur dengan kemenangan ini," katanya.

Rakannya, Kirthana Susane Alagamalai, 16, turut gembira dengan kemenangan yang dicapai buat kali pertama pada FTM.

Katanya, kumpulannya adalah gabungan tiga sekolah di Ranau iaitu SMK Mat Salleh Ranau, SMK Ranau dan SMK Lohan yang bernaung melalui Majlis Daerah Ranau.

"Kami sering mengikuti pertandingan tarian dan latihan tarian sering dilakukan pada waktu malam," katanya.

Terdahulu, FTM dianjurkan JKKN Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) sejak 1992 dan sehingga 1999 penyertaan FTM hanya terbuka kepada kumpulan profesional atau kumpulan yang diwujudkan secara tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:04 AM