RUMAH yang meletup dipercayai akibat kebocoran gas. FOTO ihsan Bomba
Iskandar Shah Mohamed


Klang: Suami isteri cedera apabila kediaman mereka di Taman Saga, Meru di sini, meletup dipercayai akibat kebocoran gas, hari ini.

Letupan 6.30 pagi itu menyebabkan wanita berusia lingkungan 40-an berkenaan melecur 80 peratus dan sebahagian besar rumah teres dua tingkat terbabit musnah.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 6.40 pagi.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Sungai Pinang dikerahkan ke lokasi dan tiada sebarang kebakaran didapati berlaku kecuali kesan kemusnahan terutama di bahagian dapur hingga tingkat dua rumah itu.

"Lebih 90 peratus premis musnah dan letupan dipercayai akibat kebocoran gas memasak. Seorang wanita melecur hampir seluruh badan dan suaminya berusia 50-an yang cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Menurut Mohd Sani, lima rumah jiran berdekatan turut rosak akibat letupan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 10:31 AM