ZAWAWI yang memakai kostum Spiderman kini muncul dengan menu kedua. FOTO Syamsi Suhaimi
ZAWAWI yang memakai kostum Spiderman kini muncul dengan menu kedua. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Lebih sembilan bulan menjual nasi lemak, ‘Spiderman’ kini muncul dengan menu kedua iaitu nasi berlauk.

Nasi putih berlaukkan ikan tongkol gulai dijadikan menu kedua memandangkan masyarakat di Kelantan agak sinonim dengan menu sebegitu selain mudah dan ringkas untuk disediakan.

Sebagai percubaan, lebih 200 bungkus nasi berlauk ikan tongkol diagihkan bermula pagi tadi secara percuma di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu antaranya Kadok, Wakaf Che Yeh, Lundang, Peringat dan Melor.

Zawawi Ghazali, 30,yang memakai kostum adiwira itu turut muncul di pejabat New StraitsTimes Press (NSTP) di sini dan mengagihkan 25 bungkus sebagai percubaan.

Zawawi berkata, menu kedua itu dibuat berdasarkan permintaan pelanggan yang inginkan kepelbagaian jualannya kerana tidak semua yang gemarkan nasi lemak.

"Di Kelantan, nasi lemak biasanya dinikmati pada waktu pagi sahaja dan sebab itu lah ada pelanggan yang mencadangkan agar saya menambah menu lain selain nasi lemak.

"Memandangkan lauk ikan tongkol turut popular di sini selain mudah untuk disediakan, saya memilih menu itu yang akan dijual pada harga RM3 bermula esok," katanya ketika ditemui di sini pagi tadi.

Berita berkaitan:

Spiderman lebar 'sesawang' perniagaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 11:56 AM