Kementerian Pelajaran mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua Program Matrikulasi/Asasi yang sebelum ini dikendalikan universiti awam (UA).

Pada sesi 1999/2000, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998.

Mulai sesi 2000/2001, semua Program Matrikulasi kecuali UIAM dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran.

Matrikulasi adalah program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan diri mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas di universiti awam dan swasta.

Tempoh pengajian prauniversiti ini mengambil masa dua semester. Kurikulumnya memberi penekanan terhadap aspek akademik tetapi tidak mengabaikan aspek kokurikulum.

Selain menyediakan pelajar berilmu dan berketerampilan, penuntut juga perlu mempunyai ciri kualiti diri terpuji dan daya kepemimpinan tinggi.

Semua pelajar program ini mengikuti sukatan pelajaran dan kaedah penilaian yang sama. Pemilihan pelajar ke universiti hanya dibuat selepas lulus Program Matrikulasi.

Mulai sesi 2003/2004, Program Matrikulasi dijalankan di Kolej Matrikulasi dan Kolej MARA sahaja.

Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan tiga jurusan pengajian iaitu Sains, Perakaunan dan Teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:21 AM