SKOP tugas ahli teknologi makmal perubatan sangat meluas antaranya menjalankan analisis darah, cecair badan, sel dan tisu selain membantu doktor mengenal pasti penyakit dan memberikan rawatan.
Ruhaiza Rusmin

Perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang makin berkembang pesat menyaksikan peningkatan permintaan tenaga kerja berkelayakan dan mahir dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan (MLT).

Skop tugas ahli teknologi makmal perubatan sangat meluas, antaranya menjalankan analisis darah cecair badan, sel dan tisu serta membantu doktor mengenal pasti penyakit dan memberikan rawatan sewajarnya.

Mereka juga membantu pakar penyelidik perubatan dalam ujian dan eksperimen penyelidikan di makmal.

Ujian makmal aspek penting dalam bidang perubatan untuk melakukan diagnosis, pencegahan serta rawatan penyakit dihidapi manusia. Kini kerja dalam bidang ini menjadi mudah dengan bantuan sistem komputer yang melakukan ujian secara automatik manakala ahli MLT pula menganalisis dan mentafsir keputusan.

Bagi menyokong usaha melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang ini, Kolej PTPL menawarkan program Diploma Teknologi Makmal Perubatan selama tiga tahun bagi menyediakan peluang pengajian kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini.

Graduan program ini berpeluang menjadi pakar teknologi makmal perubatan di hospital kerajaan, makmal swasta, makmal rujukan selain sebagai pembantu penyelidik di syarikat pengeluar dan pembekal ubat-ubatan, pembangunan produk dan farmaseutikal.

Kurikulum program ini direka khusus bagi membolehkan pelajar merasai pengalaman pembelajaran menyeluruh, membina minda dan pemikiran kritis serta dimantapkan dengan kemahiran insaniah.

Ia turut menggabungkan pengetahuan daripada pendidikan bersepadu, sains kesihatan dan pendidikan makmal agar graduan dapat memberi perkhidmatan terbaik selepas tamat pengajian.

Graduan Kolej PTPL seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Bacelor di Management & Science University (MSU) menerusi Faculty of Health & Life Sciences (FHLS). Graduan juga boleh memohon melanjutkan pengajian dalam program Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS) melalui MSU International Medical School (IMS) di kampus Shah Alam atau kampus pesisir pantai di Bangalore, India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:55 AM