Mohd Fuad (kiri) pada Majlis Pelupusan Barang Kes (Komputer Perjudian) di Balai Polis Ara Damansara, hari ini. FOTO Fardy Bungga
Mohd Fuad (kiri) pada Majlis Pelupusan Barang Kes (Komputer Perjudian) di Balai Polis Ara Damansara, hari ini. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga

Petaling Jaya: Seramai 76 daripada 137 individu yang ditahan sepanjang Ops Cantas 2 yang dijalankan Ibu Pejabat Kontijen Selangor sejak 6 Ogos lalu dikenal pasti sebagai ahli kumpulan kongsi gelap.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, semua individu berusia 20 hingga 50 tahun itu dikenal pasti berdasarkan lambang tatu yang terdapat di badan mereka.

"Baki individu yang ditahan masih lagi dalam siasatan dan operasi ini akan diteruskan dalam usaha membanteras jenayah kekerasan termasuk kongsi gelap dan gangsterism.

"Antara kumpulan kongsi gelap yang dikenal pasti adalah geng satu hati, geng 04 dan geng 36 serta beberapa lagi kumpulan yang diisytiharkan haram mengikut Akta Pertubuhan 1966," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes (Komputer Perjudian) di Balai Polis Ara Damansara, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 3,659 unit komputer dan peralatan perjudian dilupuskan membabitkan 307 kes dengan nilai wang rampasan RM18,822.60 sejak tahun 2002 sehingga tahun 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 3:48 PM