AINILIZA mahu lebih ramai generasi muda pupuk semangat patriotik.

Cabaran memimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan suatu tugas yang mudah selain bekerja secara sukarela tanpa menerima sebarang imbuhan khususnya bagi seorang wanita.

Namun Presiden Kelab Pemilik dan Peminat Perodua Kenari Malaysia (KENARIANZ MALAYSIA) Ainiliza Anizah Usli, 37, mengakui tanggungjawab yang diamanahkan itu amat berat, namun ia perlu dipikul secara ikhlas dan adil kepada semua ahlinya di seluruh negara.

Dia bergiat aktif dalam KENARIANZ sejak 2008 dan mula memimpin kelab itu sebagai presiden bagi sesi 2014/2016 selain sudah melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan serta mengadakan program berbentuk patriotik sempena bulan kemerdekaan.

“Memimpin NGO khususnya kelab permotoran sering kali dikaitkan dengan golongan lelaki, namun saya tetap berbangga kerana dapat melaksanakan tugas ini secara sukarela.

“Sepanjang memimpin kelab ini, pelbagai aktiviti sudah kami laksanakan termasuk menjalankan kempen mengibar Jalur Gemilang dalam kalangan ahli selama hampir sebulan,” katanya.

Ainiliza berkata, selain mengadakan kempen dalam kalangan ahli, mereka turut menyertai perarakan kenderaan sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri pada setiap tahun.

Aktiviti mengibar Jalur Gemilang secara sukarela dalam kalangan ahli itu mula dilaksanakan pada pertengahan Ogos sehingga Hari Malaysia.

“Sejak pelaksanaan kempen ini, ahli tidak pernah mengeluh walaupun perlu mengeluarkan wang sendiri bagi memasang bendera Jalur Gemilang dan Sabah di kenderaan mereka.

“Malahan slogan ‘My Ride My Pride’ turut menjadi kekuatan untuk mereka menghias kenderaan dengan bendera selain menanam semangat cintakan negara sepanjang bulan kemerdekaan,” katanya.

Ainiliza berkata, segelintir anak muda kini dilihat masih kurang bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang termasuk bendera negeri Sabah.

“Sebagai anak muda, kita perlu menghayati erti kemerdekaan yang diperjuangkan perajurit negara sebelum ini yang banyak berkorban bagi memperoleh kemerdekaan.

“Justeru, tidak salah untuk kita berkorban dan secara sukarela mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan sebagai tanda penghargaan kepada perajurit negara baik dulu mahupun yang bertugas sekarang,” katanya.

Dia juga tidak malu mengakui sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara selain tidak jemu mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

“Selain memasang Jalur Gemilang di kenderaan, saya juga tidak kisah berbelanja sedikit untuk memasang pelekat bertemakan bendera Jalur Gemilang pada pintu kereta.

“Meskipun ada pihak yang bersikap negatif terhadap inisiatif itu, saya tidak malu berbuat demikian kerana semangat patriotik terhadap negara sentiasa ada dalam diri,” katanya yang menyeru anak muda untuk sama-sama menzahirkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Sepanjang memimpin KENARIANZ, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kemerdekaan sudah dilaksanakan termasuk mengadakan konvoi merdeka bermula dari Kota Kinabalu sehingga daerah Tawau. Selain itu, mereka juga pernah menyertai konvoi merdeka raya bermula di Kota Kinabalu dan berakhir di Kota Belud.

Tambahnya, aktiviti lain seperti Himpunan Belia Patriotik 2013 dan Misi Kemanusiaan Tragedi Tanduo 2013.

“Kami turut mengadakan aktiviti kemasyarakatan bersama anak yatim di Tambunan, lawatan ke rumah warga emas di Sri Pritchard Kinarut selain menyalurkan bantuan untuk mangsa gempa bumi di Kundasang.

“Memang diakui, banyak cabaran dan halangan untuk mengadakan aktiviti sukarela namun berjaya dilaksanakan dengan adanya kerjasama semua pihak,” katanya.

Peluang bertemu individu istimewa pada setiap aktiviti kemasyarakatan memberi makna mendalam kepada dirinya dan ahli yang menyertai.

“Ketika mengadakan lawatan ke rumah kebajikan, saya dan rakan tersentuh hati melihat kecekalan mereka berada di sana. Kami juga dapat merasakan kesusahan mereka pada kunjungan itu dan kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Ainiliza turut mengajak belia di seluruh negara untuk bersama-sama menjadi rakyat yang berguna kepada bangsa dan negara demi kesejahteraan Malaysia. - Erdiehazzuan Ab Wahid

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:02 AM