DELA Rosa (depan) memberi keterangan kepada jawatankuasa Senat mengenai pembunuhan tanpa bicara di Manila, semalam.
DELA Rosa (depan) memberi keterangan kepada jawatankuasa Senat mengenai pembunuhan tanpa bicara di Manila, semalam.
Reuters

Manila: Jumlah pembunuhan berkait dengan dadah sejak Presiden Rodrigo Duterte mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan perang terhadap dadah pada Mei lalu meningkat sekali ganda kepada kira-kira 1,800.

Perkara itu didedahkan oleh polis semalam, sehari selepas Duterte mengecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas badan dunia itu mengkritik dasarnya.

Dalam sidang akhbarnya awal pagi kelmarin, Duterte berkata, Filipina mungkin meninggalkan PBB dan mempelawa China serta negara lain membentuk forum global baru dengan menuduh badan berkenaan gagal memenuhi mandatnya.

Bagaimanapun, Menteri Luar Duterte, Perfecto Yasay berkata semalam, Filipina akan kekal sebagai anggota PBB dan menyifatkan kenyataan presiden itu sebagai luahan yang berasas mengenai kekecewaannya terhadap badan dunia berkenaan.

“Kami komited kepada PBB meskipun kecewa dengan agensi antarabangsa itu,” kata Yasay di sidang akhbar semalam.

Minggu lalu, dua pakar hak asasi PBB menggesa Manila menghentikan pembunuhan tanpa bicara yang meningkat sejak Duterte menjadi presiden Mei lalu dengan janji untuk menghapuskan dadah.

Sehingga kelmarin, bilangan suspek yang terbunuh dalam perang dadah tujuh minggu Duterte meningkat kepada 900 orang, kata pegawai Filipina.

Bagaimanapun, semalam, ketua polis negara itu, Ronald Dela Rosa memberitahu jawatankuasa Senat yang menyiasat pembunuhan tanpa bicara, seramai 712 penyeludup dan pengguna dadah dibunuh dalam operasi polis.

Polis juga menyiasat 1,067 pembunuhan berkait dadah yang didakwa dilakukan orang tidak dikenali, kata Dela Rosa.

Yasay, dalam sidang akhbarnya semalam juga berkata, Duterte berjanji untuk menghormati hak asasi manusia dalam memerangi dadah dan mengarahkan polis menyiasat dan mendakwa mereka yang melakukan pembunuhan suspek sewenang-wenangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 8:05 AM