BALE (kanan) dan James Rodriguez meraikan jaringan ketika menentang Sociedad.
BALE (kanan) dan James Rodriguez meraikan jaringan ketika menentang Sociedad.
AFP

Barcelona: Jaringan Gareth Bale dan Marco Asensio membolehkan Real Madrid mengatasi Real Sociedad dan kemenangan 3-0 di Anoeta melonjakkan moral kelab gergasi Sepanyol itu pada perlawanan pertama La Liga.

Kembali selepas mewakili negaranya di Euro 2016, Bale muncul satu-satunya pemain dalam kalangan penggempur ‘BBC’ yang cukup cergas untuk diturunkan dan skuad kendalian Zinedine Zidane itu bertandang ke San Sebastian dalam krisis kecederaan apabila lima pemain utama tidak dapat bermain.

Bintang Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema, Luka Modric, Keylor Navas serta Pepe semuanya diketepikan tetapi tidak menghalang Madrid untuk melakar kemenangan di Anoeta dan mereka perlu berterima kasih kepada dua gol disumbangkan Bale.

“Saya gembira bagi pihaknya,” kata Zidane. “Secara fizikal, dia mungkin ketinggalan di belakang pemain lain tapi dia memulakan persembahan dengan cara terbaik, menerusi gol awal. Dia pernah berkata bahawa ini adalah tahun yang penting baginya dan sudah membuktikannya.”

Bale tetap diturunkan walaupun hanya muncul sekali dalam perlawanan persahabatan ketika pramusim tetapi bintang Wales itu menceriakan Madrid apabila melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Dani Carvajal pada minit kedua permainan.

Alvaro Morata hampir menjaringkan gol keduanya sejak kembali menyarung jersi Real Madrid tetapi rembatannya selepas menggelecek beberapa pemain lawan, sedikit tersasar.

Real Sociedad berpeluang menyamakan kedudukan tetapi tindakan bekas pemain Madrid Asier Illarramendi yang membuat hantaran kepada Juanmi berbanding cuba melakukan cubaan, tidak menjadi dan bola berjaya disekat pertahanan lawan.

Cubaan Morata dinafikan penjaga gol Sociedad Geronimo Rulli manakala tindakan susulan pemain muda Asensio selepas mendapat hantaran James Rodriguez dan Isco, tersasar.

Asensio menjaringkan gol kedua Madrid di minit ke-40 selepas menerima hantaran Varane dan Zidane berkata, persembahan baik pemain muda itu membuatkannya sukar untuk memilih kesebelasan utama.

“Saya perlu memikirkan barisan terbaik. Bukan mudah untuk saya memilih kesebelasan utama. Asensio bertindak cemerlang, begitu juga dengan (Mateo) Kovacic serta pemain lain. Perkara paling penting ialah pasukan,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 8:50 AM