DATUK Wan Ahmad Najmuddin Mohd. FOTO Bernama
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menahan lelaki semalam, disyaki membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor yang berunsur tahyul menerusi aplikasi Whatsapp.

Suspek berusia 34 tahun yang dipercayai tidak bekerja dan masih bujang itu ditahan di rumahnya di Jalan Tengah, Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 5.05 petang, susulan laporan polis yang diterima, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 6.40 petang berhubung penyalahgunaan aplikasi dengan membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor.

"Pengadu menerima kenyataan jelik yang berunsurkan tahyul itu menerusi aplikasi Whatsapp yang mana kenyataan terbabit boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan rakyat.

"Kita membuat tindakan segera dan menahan lelaki yang dipercayai adalah individu yang bertanggungjawab membuat kenyaatan terbabit," katanya.

Beliau berkata, dalam tangkapan itu juga, pihaknya turut merampas dua telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 1:24 PM