ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Enam ahli geng pecah rumah termasuk seorang remaja yang dipercayai terbabit dalam 10 kes pecah rumah sekitar Johor Bahru Utara di sini sejak dua bulan lalu diberkas polis dalam dua serbuan berasingan.

Semua suspek lelaki berusia 16 hingga 49 tahun tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat suami isteri berhubung kediamannya di Taman Sri Skudai di sini, dipecah masuk, 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya kemudian melakukan risikan sebelum menyerbu rumah di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram di sini, 11.45 malam, kelmarin.

"Hasil serbuan ini polis menahan lima lelaki termasuk remaja terbabit dan merampas sebuah tablet yang diketahui hasil jenayah pecah rumah di kediaman suami isteri berkenaan.

"Susulan tangkapan ini, kira-kira 3 pagi semalam, polis membuat serbuan dan memeriksa bilik di hotel bajet di Taman Jaya, Skudai dan menahan seorang suspek berusia 49 tahun.

"Hasil pemeriksaan dalam bilik hotel itu, kita menemui dan merampas barangan lain termasuk empat komputer riba, tiga beg galas, 14 jam tangan, satu beg komputer riba," katanya.

Beliau berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai barangan lain dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti empat 'allen key' yang diubah suai, dua pemutar skru, besi pengumpil, lima rangkai kunci, dua set perlatan kikir kunci dan sarung tangan.

Mohd Taib berkata, hasil siasatan awal mendedahkan kumpulan itu terbabit dalam kes pecah rumah di Skudai dan pernah melakukan 10 kes pecah rumah lain di sekitar kawasan Johor Bahru Utara sejak Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:54 PM