SELESEMA mengganggu si kecil tersayang.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Hidung tersumbat, meragam dan tidak boleh tidur lena. Itu antara masalah utama bayi atau kanak-kanak yang menghidap selesema.

Si kecil lazimnya berasa tidak selesa, tersengguk-sengguk dan sukar menyusu. Situasi itu bukan saja memeritkan penghidapnya, malah turut memberi cabaran besar kepada ibu bapa atau penjaga dalam menjaga si kecil tersayang.

Pakar perubatan menganggarkan bayi menghidap selesema sebanyak lapan hingga 10 kali dalam masa dua tahun pertamanya.

Namun lebih utama, ibu bapa atau penjaga perlu tenang dalam menangani pelbagai kerenah anak-anak yang diserang selesema.

Apa punca selesema?

Selesema ialah jangkitan bahagian atas saluran pernafasan berpunca daripada pelbagai jenis virus. Kebiasaannya, ia merebak apabila seseorang yang menghidap selesema itu bersin dan menyebarkan virus selesema ke udara sebelum dijangkiti individu lain.

Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan tangan, jadi seeloknya anda perlu membasuh tangan selepas menghembus hidung.

Bayi lebih cenderung kerap dijangkiti selesema disebabkan mereka dilahirkan dengan sistem imuniti yang hanya berfungsi sebanyak 60 peratus.

Bagaimana selesema menjejaskan bayi?

Bayi yang sakit mungkin akan menghidap demam (sehingga 38 darjah Celsius), batuk, mata merah, sakit tekak dan hidung berair yang membuatkan mereka meragam dan hilang selera makan.

Bayi di bawah usia enam bulan tidak boleh bernafas melalui hidung apabila sakit menyebabkan mereka bermasalah untuk bernafas dan makan.

Lebih menyukarkan apabila si kecil tidak bersedia untuk menghembus hidung mereka sehingga usia mencapai empat tahun. Justeru, ibu bapa perlu membantu mengeluarkan mukus si kecil.

Tidur malam mereka juga terganggu menyebabkan ibu bapa perlu menenangkannya, mengelap hidung dan menyapu minyak sesuai bagi mengurangkan rasa tidak selesa itu.

Berapa lama selesema berlarutan?

Simptom selalunya reda selepas tiga hingga 10 hari. Pada bayi yang terlalu muda, ia mungkin berlarutan sehingga dua minggu.

Kebanyakan bayi yang ada hubungan dengan kanak-kanak yang lebih tua akan menghidap selesema sebanyak enam hingga 10 kali dalam tahun pertama mereka.

Bolehkah mencegah bayi daripada selesema?

Menyusukan bayi satu daripada cara terbaik melindungi kesihatan bayi terutama pada bayi yang masih diberikan susu ibu.

Ibu bapa juga boleh menjauhkan bayi daripada individu yang sakit iaitu dengan meminta semua ahli keluarga yang kurang sihat membasuh tangan mereka sebelum menyentuh bayi atau barangnya.

Elakkan bayi berada di persekitaran merokok. Kanak-kanak yang tinggal bersama perokok akan lebih kerap selesema dan ia berlarutan lebih lama berbanding si kecil yang tidak terdedah kepada asap rokok.

Bila perlu menghubungi doktor?

Lakukannya apabila tanda selesema sudah kelihatan jika bayi anda berusia kurang dari tiga bulan.

Bagi bayi berusia tiga bulan ke atas, hubungi doktor jika selesema berlarutan lebih lima hari, suhu badan melebihi 39 darjah Celsius, mengalami sakit telinga, masalah bernafas dan batuk berlarutan serta mengeluarkan mukus hijau yang pekat dan berlarutan daripada hidungnya.

Bagaimana ibu bapa boleh merawat selesema?

Tidak banyak yang boleh anda lakukan kecuali menunggu dan memberikan anak anda banyak rehat dan cecair (tingkatkan jumlah jus buah-buahan yang kaya dengan vitamin C). Jika badannya panas, berikan cecair paracetamol di bawah pengawasan doktor dan jangan sesekali berikan sebarang ubat selesema tanpa berunding dengan pakar pediatrik atau doktor.

Jika usia kanak-kanak itu kurang dari setahun, ubat selesema yang dibeli di kedai selalunya lebih berbahaya. Namun ada beberapa cara untuk melegakan ketidakselesaannya:

- Jika hidung bayi anda tersumbat, tinggikan kepala tilam dengan meletakkan tuala di bawahnya. Tidur mencondong boleh melegakan hidung.

- Jangan gunakan bantal untuk meninggikan kepala bayi (ia boleh menyebabkan bahaya mati lemas) dan jangan meletakkan bantal di bawah tilam.

- Lap hidungnya supaya dia boleh bernafas dengan lebih mudah. Anda boleh menyapu jeli petroleum di luar lubang hidung bayi anda untuk mengurangkan kesukaran.

- Jika bayi sukar menyusu dengan hidung tersumbat, minta doktor larutan bergaram untuk diletakkan di setiap lubang hidung setiap 15 minit sebelum penyusuan.

Sesetengah ibu bapa menggunakan bebuli penyedut untuk membersihkan dan mengeluarkan air bergaram dan mukus daripada hidung bayi. Cuba gunakan pengewap untuk melembapkan udara atau bawa bayi ke bilik mandi bersama anda, buka air panas atau pancuran mandi, tutup pintu dan duduk dalam keadaan berwap selama 15 minit.

Jika bayi menghadapi masalah hidung tersumbat tanpa sebarang simptom lain, periksa lubang hidungnya kerana dikhuatiri ada sebarang objek asing kerana bayi atau kanak-kanak kadangkala memasukkan objek asing ke dalam hidung.

Selesema adalah sebahagian daripada kehidupan dan selepas anda berjaya mengharungi selesema si kecil buat kali pertama, anda akan tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya ia berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 5:22 AM