DEMAM kuning membimbangkan ibu bapa.
Siti Nadirah Hafidzin


Perasaan bimbang pasti menyelubungi setiap ibu bapa apabila si kecil yang baru dilahirkan mula menunjukkan tanda menghidap demam kuning.

Kebimbangan itu perlu dikawal kerana terdapat beberapa rawatan tradisional yang dapat membantu memulihkan demam kuning.

Antara amalan atau kaedah tradisional yang boleh dilakukan sekiranya bayi anda mengalami demam kuning termasuklah:

Pemberian susu ibu

Susu ibu anugerah yang diberikan kepada setiap wanita bergelar ibu selain mempunyai 1,001 khasiat khususnya kepada bayi.

Kandungannya mempunyai khasiat teristimewa terutama dalam membekalkan antibodi dan membentuk ketahanan diri bagi mengawal penyakit.

Disebabkan itu, bayi yang mengalami demam kuning perlu diberikan susu ibu sebanyak mungkin atau sekurang-kurangnya setiap dua jam sekali.

Selain itu, si ibu juga perlu menjaga pola pemakanan harian supaya bayi mendapat khasiat sempurna dan lengkap daripada penyusuan susu ibu, sekali gus menurunkan kadar demam kuning.

Susu kambing

Hanya berikan dalam kuantiti sedikit, susu kambing cukup dititikkan ke dalam mulut bayi.

Menurut kajian, susu kambing mempunyai khasiat dan kandungan protein yang hampir sama dengan susu ibu.

Namun, tidak semua bayi yang mengalami demam kuning serasi dengan kaedah ini selain pemberiannya perlulah sedikit.

Sengkuang cina

Sengkuang Cina juga dipercayai dapat mengurangkan demam kuning. Parut isi sengkuang dan perah sehingga sengkuang itu mengeluarkan air.

Kemudian, ambil airnya dan berikan kepada bayi. Pemberiannya juga tidak perlu banyak kerana perut bayi yang baru dilahirkan masih belum cukup kuat untuk menerima bahan lain selain susu.

Pokok dukung anak

Ambil beberapa batang pokok dukung anak yang kemudiannya direbus. Mandikan bayi anda dengan air rebusan yang agak suam.

Lakukannya dua kali sehari selama beberapa hari sehingga demam kuning itu hilang.

Halwa kundur

Bersihkan halwa dan rebus, seterusnya air rebusan itu diberikan kepada bayi yang mengalami demam kuning.

Lakukan beberapa kali sehingga demam kuning bayi semakin menurun dan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 5:26 AM