X
Adam Salleh

Katakan Datuk Lee Chong Wei dapat menewaskan Chen Long pada final badminton Olimpik Rio 2016 Sabtu lalu, pastinya lagu Negaraku berkumandang di Brazil sekali gus dipancarkan ke seluruh dunia dan Jalur Gemilang pula berkibar megah di hari bersejarah.

Berbaki tujuh hari lagi kita akan meraikan Hari Kebangsaan Ke-59. Sejak bebas daripada belenggu penjajah (446 tahun dijajah), lagu Negaraku dan Jalur Gemilang menjadikan kita bangsa bermaruah dengan jati diri dan identiti sendiri. Orang berbudi kita berbahasa, tetapi berbahasakah kita jika orang yang pernah menabur budi, kita buat tidak reti apatah lagi mahu kurniakan penghargaan tanda terima kasih.

Inilah yang musykil, bahkan mendukacitakan jika mengenang jasa kedua-dua tokoh ini, Allahyarham Saiful Bahri dan Allahyarham Mohamed Hamzah bukan saja dipandang sebelah mata, lebih sesuai dikata tidak dipandang langsung sejak kita merdeka pada 31 Ogos 1957.

Generasi Y (Gen Y, lahir 1977-1997)), Gen Z (1998-2009) dan Gen A (2010 hingga kini) tentu saja asing dengan nama kedua-dua tokoh itu berbanding jika disebut Akim & The Majistret atau aktor Zul Ariffin. Namun jika tidak kerana Saiful Bahri dan Mohamed Hamzah, usahkan Akim dan Zul Ariffin, bahkan kita pun tidak menyanyikan lagu Negaraku seperti sekarang atau mengibarkan Jalur Gemilang.

Dilahirkan di Payakumbuh, Sumatera Barat, pada 19 September 1924, Saiful Bahri adalah komposer yang bertanggungjawab menggubah lagu rasmi negeri Perak, Allah Lanjutkan Usia Tuanku (lagu berasal dari kepulauan Seychelles dibawa pulang oleh Sultan Abdullah) menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui satu pertandingan yang dihakimi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 5 Ogos 1957.

Kita maklum saban tahun berlambak lagu patriotik dicipta dan dikeudarakan sepanjang bulan kemerdekaan seperti mutakhir ini acapkali disiarkan lagu Bahtera Merdeka nyanyian Balqies dan Forteen, namun Negaraku adalah pasak atau tunjang semua lagu itu.

Bermula dan penutup siaran di televisyen lagu Negarakulah yang dimainkan. Paling pasti setiap tahun tiba perarakan Hari Kebangsaan, sebaik Yang di-Pertuan Agong mencemar duli dan berangkat pulang, lagu Negaraku itulah yang akan dialunkan.

Sentuhan magis Saiful Bahri turut tercerna melalui lagu karyanya; Bahtera Merdeka, Barisan Kita, Malaysia Berjaya, Gajah Malaysia dan Samudera Kita. Saiful turut menghasilkan lagu Selangor; Duli Yang Maha Mulia, lagu Melaka; Melaka Maju Jaya, lagu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lirik nukilan Usman Awang serta lagu mengikat dua negara serumpun Semalam Di Malaysia.

Lagu-lagu itu seperti Bahtera Merdeka buat kita sayu dan kasih pada tanah air, malah turut menyuntik semangat patriotik buat rakyat kita berbilang bangsa. Begitu juga anggota keselamatan ditanamkan semangat waja serta taat setia pada negara melalui Bahtera Merdeka.

Peluang menemuramah keluarga Saiful Bahri ini pada 2000 dulu, masih meninggalkan kesan pada penulis bila mana anak perempuannya yang bertugas sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) memberitahu royalti ayahnya hanya dibayar RM300 pada pertengahan 1999.

Itu pun selepas ibunya, Noraini Ahmad (meninggal pada 21 Disember 1999) memperjuangkan hak suaminya selama 10 tahun, lalu mendaftar menjadi ahli MACP (Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik pada 22 Jun 1998)

Saiful Bahri yang bertugas di Filem Negara Malaysia (kini dibawah Finas) meninggal dunia di Tokyo, Jepun pada 26 November 1976. Allahyarham meninggalkan Noraini pada usia 53 tahun (Noraini 28 tahun ketika itu) serta anak yang masih kecil Norasavitri, Soufina Ranti, Qusnafiah, Nurul Adzan dan Saiful Bahri Ahmad (37). Jenazah Saiful Bahri dituntut isteri tuanya untuk dikebumikan di Jakarta.

Nasib Saiful samalah seperti Mohamed Hamzah, insan yang bertanggungjawab mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu yang kini disebut Jalur Gemilang. Anak kedua daripada 10 beradik ini berasal dari Johor Bahru dan bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, berusia 29 tahun ketika menyertai pertandingan merekacipta bendera pada 1947 yang dianjurkan pemerintah British ketika itu.

Beliau meninggal dunia pada 19 Februari 1993 di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee.

Lebih setengah abad lagu Negaraku itu sebati dalam naluri masyarakat kita, begitulah juga Jalur Gemilang gah berkibar di persada dunia tidak pernah kita dengar adanya pihak mahu mencadangkan nama Saiful Bahri dan Mohamed Hamzah dikurniakan darjah kebesaran.

Barangkali jasa Saiful Bahri dan Mohamed Hamzah ini ‘ciput’ jika dibandingkan dengan jasa Datuk Jackie Chan, Datuk Shah Rukh Khan mahupun Tan Sri Michelle Yeoh, namun haruslah kita ingat bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang menghargai jasa pahlawannya.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:37 AM