PALLRAJ (tiga dari kanan) meraikan kejayaan bersama rakan selepas menjaringkan gol pertama Perak.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Perak bangkit mempamer aksi membanggakan untuk menumpaskan Pulau Pinang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak di tangga keenam liga dengan mengumpul 24 mata.

The Bos Gaurus bermula garang dengan asakan pada awal permainan separuh masa pertama melalui serangan pemain import Oybek Kilichev dan Elias Fernandes De Oliveira serta penyerang tempatan Mohamad Fazrul Hazli namun masing-masing gagal menemui penyudah.

Tersentak dengan serangan itu, pasukan pelawat bangkit dengan serangan balas pantas melalui kapten Matias Jesus Cordoba dengan beberapa percubaan yang berjaya dinafikan penjaga gawang tuan rumah.

Pasukan tuan rumah berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila pada minit ke-27, D Kenny Pallraj merembat kencang dari luar kotak penalti selepas pertahanan Pulau Pinang gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Elias Fernandes.

Gol pertama itu memberi semangat kepada anak buah Karl Heinz Weigang untuk terus mencari gol dan usaha itu membuahkan hasil apabila rembatan Mohamad Fazrul Hazli pada minit ke-39 sekali lagi menewaskan penjaga gawang Pulau Pinang Mohd Firdaus Muhamad untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Jaringan itu bagaimanapun mencetuskan kekecohan di kalangan pemain Harimau Kumbang apabila penjaga garisan Mohd Shahreen Che Omar membatalkan jaringan itu atas alasan ofsaid namun ia tetap dibenarkan pengadil perlawanan Teoh Hee Loon.

Keadaan itu juga menyebabkan permainan terhenti selama kira-kira lima minit susulan pemain Pulau Pinang membantah keputusan berkenaan selain penyokong pelawat turut membuat kecoh kerana tidak berpuas hati hingga memaksa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa mengawal keadaan.

Separuh masa kedua, Perak sekali lagi bermula garang dengan serangan bertali arus ke kubu lawan, namun Harimau Kumbang berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi penalti yang disempurnakan Soleye Ranti Martins pada minit ke-56 sekali gus menjadikan kedudukan 2-1.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain tuan rumah mula menyusun kembali strategi dengan mengasak pertahanan pelawat dan akhirnya mendapat gol ketiga pada minit ke-69 melalui jaringan Muhammad Ridzuan Azly.

Gol keempat Perak hadir menerusi jaringan Elias Fernandes pada minit ke-81 dan keputusan 4-1 itu kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:34 AM