PEMAIN Kedah, Azmeer Yusof (kiri) mengawal bola yang cuba dirampas pemain Kelantan, Blaze Ilijoski (tengah).
PEMAIN Kedah, Azmeer Yusof (kiri) mengawal bola yang cuba dirampas pemain Kelantan, Blaze Ilijoski (tengah).
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan terpaksa akur dengan kehebatan yang dipamer Kedah apabila tumbang 1-2 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, malam tadi.

Jentera serangan Kedah menguasai 20 minit babak separuh masa pertama menyebabkan Kelantan terpaksa berhempas pulas menyekat kemaraan lawan.

Dua import Kedah, Thiago Augusto Fernandes dan Liridon Krasniqi ternyata tangkas hingga memaksa penjaga gol Kelantan Mohd Khairul Fahmi Che Mat terpaksa bekerja keras mengawal gawangnya daripada dibolosi.

Gandingan kedua-dua pemain itu nyaris menghasilkan gol pertama Kedah tetapi sepakan padu Thiago pada minit ke-4 sedikit melewati palang gol Kelantan sebaik mendapat umpanan cantik Liridon.

Bagaimanapun, kekecewaan Kedah terubat apabila pemain sayap Abdul Halim Shaari menjaringkan gol pada minit ke-20 selepas menewaskan Mohd Khairul Fahmi hasil hantaran silang Thiago.

Bersambung babak kedua, corak permainan Kelantan agak berubah apabila pengendali Velizar Popov mula mengubah beberapa strategi bagi merobek kubu lawan.

Percaturan Popov memasukkan Indra Putra Mahayuddin bagi menggantikan Mohd Badhri ternyata memberi impak berkesan terhadap jentera serangan Kelantan.

Kehebatan Indra Putra terbukti apabila dia melorongkan bola yang baik bagi membolehkan Brendan Gan melakukan cubaan pada minit ke-53 dan 55.

Kemasukan import berbisa Kelantan Wander Luiz bagi menggantikan Wan Zaharulnizam menjadikan jentera serangan tuan rumah semakin berbisa.

Bagaimanapun, Kelantan terpaksa menunggu hingga minit ke-70 untuk menghasilkan gol penyamaan menerusi Wan Zack Haikal.

Tiga minit kemudian, Popov diperintahkan meninggalkan bangku simpanan kerana kerap membantah keputusan yang dibuat pengadil Mohd Nazmi Nasaruddin.

Ketika permainan dilihat seolah-olah bakal berakhir seri, Baddrol Bakhtiar muncul wira pasukan dengan gol kemenangan pelawat pada minit akhir permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:37 AM