Anggota bomba berusaha mengeluarkan seorang mangsa kemalangan di Jalan Seremban-Tampin, berhampiran taman tema air Pedas, Rembau, tengah hari tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan seorang mangsa kemalangan di Jalan Seremban-Tampin, berhampiran taman tema air Pedas, Rembau, tengah hari tadi. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Rembau: Tiga cedera, tiga lagi selamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Seremban-Tampin, berhampiran taman tema air Pedas di sini, tengah hari tadi.

Kejadian 1.30 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota LE dipandu seorang wanita berusia 76 tahun dari arah Seremban bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu mengakibatkan wanita terbabit tersepit manakala dua wanita iaitu penumpang MPV cedera di kaki dan muka, sementara dua lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun selamat.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Maszoraanim Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.33 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi.

"Bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Lima lagi mangsa tidak tersepit dan dikeluarkan bomba dengan bantuan awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:05 PM