Buaya tembaga yang masuk perangkap dipasang PERhilitan di


Pasir Puteh: Buaya yang menyerang Ibrahim Noor, 58, ketika dia membasuh jala udangnya di tebing Sungai Gong Ketereh, Tok Ajam, di sini, Isnin lalu, masuk perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), 2.30 petang tadi.

Buaya jenis tembaga itu memasuki perangkap berkenaan kurang 24 jam selepas dipasang kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa diserang dan dalam proses untuk dipindahkan ke Perak.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) semalam memasang dua perangkap.

"Kita menggunakan ayam sebagai umpan dan ia dipasang pada Rabu sejurus menerima maklumat terdapat kes serangan buaya ke atas penduduk.

"Melihat kepada saiznya, buaya ini dipercayai masih muda dan ukuran akan diambil di pejabat PERHILITAN di Kuala Krai, malam ini sebelum dipindahkan ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Perak," katanya di sini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam Isnin lalu, Ibrahim yang juga tukang kayu cedera di paha, betis dan lutut kiri selepas diserang buaya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 9:31 PM