MOHAMMAD Aizuddin (tengah) bersama Muhammad Saffiq (kiri) dan Muhamad Faiz ketika persembahan pada majlis Jubli Perak Masjid Al-Azim di Alor Gajah.

Alor Gajah: Mereka bukan saja berdakwah dalam usaha membantu menghindarkan belia daripada terjerumus dalam gejala sosial, malah tiga ahli kumpulan busker Hantam Sajalah turut menjadikan muzik sebagai medium memberi pemahaman kepada penganut agama lain mengenai keindahan Islam sebagai agama universal.

Trio itu mahu memberikan gambaran kepada penganut agama lain betapa Islam amat mementingkan keamanan dan menolak sekeras-kerasnya keganasan yang sering disalah tafsir gara-gara perjuangan songsang kumpulan militan seperti Daish hingga mencemarkan imej umat Islam di seluruh dunia.

Persembahan itu turut digunakan bagi menyedarkan belia mengenai erti perjuangan sebenar dalam Islam berikutan ramai dalam kalangan golongan itu terutama pelajar terpengaruh hingga menyertai kumpulan militan dengan harapan syahid di medan pertempuran.

Kumpulan dianggotai Mohammad Aizuddin Khamis, 29, sebagai penyanyi utama dan pemain percussion, Saffiq Zahar, 28, gitaris serta Muhammad Faiz, 26, bass, sering diundang mengadakan persembahan berunsurkan Islam di seluruh negara sejak setahun lalu.

Mohammad Aizuddin berkata, menerusi program disertai, dia dan kumpulannya mampu menyampaikan mesej secara langsung betapa Islam agama yang menolak keganasan kepada penganut agama lain.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:29 AM