ENGGAN bersentuhan dengan pelakon wanita dalam lakonan selepas hidap ketumbuhan otak Mac lalu.
Ramlah Zainal


Bukan ‘demand’, sebaliknya niat pelakon kacak Nazim Othman enggan bersentuhan dengan pelakon wanita kerana menunaikan janjinya kepada diri sendiri selepas menghidap ketumbuhan otak pada Mac tahun lalu.

Walaupun sudah sembuh selepas menjalani pembedahan, pelakon yang dikenali dalam drama bersiri Teruna Kimchi itu tetap berpegang pada janjinya itu. Malah, kata pemilik nama sebenar, Nushrul Alif Othman, 32, ini, dia cuba mempraktikkan perkara itu dalam karier lakonan, sekali gus dalam kehidupan sehariannya.

“Selain meletakkan syarat kepada produksi drama untuk tidak melakonkan babak romantik secara berlebihan, berpelukan atau bersentuhan kulit dengan wanita bukan mahram, saya juga mengelak untuk bersalaman dengan wanita sama ada dalam lakonan atau ketika di luar waktu bekerja.

“Pada masa sama, saya juga berusaha mengelak dari bersalaman atau bersentuhan dengan tunang saya iaitu pelakon Bella Dally sejak dia bertudung,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri 100 episod Lara Aishah terbitan Global Station Sdn Bhd, baru-baru ini.

Namun, Nazim bersyukur kerana pengarah drama Lara Aishah iaitu Riza Baharudin menghormati prinsipnya itu.

“Pengarah juga sudi bertolak ansur untuk merombak beberapa babak dalam drama itu mengikut syarat diletakkan. Itu salah satu syarat saya untuk pihak produksi sebelum menerima tawaran ini.

“Bagi saya produksi di sini sudah terbuka untuk perkara itu. Pengarah sekarang sudah kreatif untuk merealisasikan babak romantik membabitkan suami dan isteri tanpa perlu bersentuhan,” katanya.

Mengenai wataknya dalam Lara Aishah, kata Nazim, dia tertarik untuk melakonkan drama itu kerana kekuatan dari segi skripnya.

“Watak Iskandar, anak hartawan yang jatuh cinta dengan gadis miskin iaitu Aishah juga ada kelainan daripada yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

“Saya juga tidak lagi gementar bergandingan dengan Fasha dalam drama berbanding ketika kami digandingkan dalam Sutera Maya dulu. Saya juga tiada masalah untuk mendapat keserasian dengannya kerana kami profesional di lokasi,” katanya.

Kongsi tarikh nikah di Instagram

Jika selebriti lain tidak sabar berkongsi hari bersejarah mereka, ia sebaliknya buat Nazim dan tunangnya yang juga pelakon Bella Daly.

Bagi Nazim, dia juga akan berkongsi tarikh majlis pernikahannya dengan pihak media dan peminat apabila sampai masanya nanti.

“Saya perlu menyelesaikan beberapa urusan penting membabitkan persiapan perkahwinan terlebih dulu sebelum berkongsi tarikh itu dengan pihak media dan peminat.

“Begitu juga sesi fotografi praperkahwinan kami yang berlangsung di Bali, Indonesia sebelum ini. Pada mulanya, saya ingin merahsiakannya tetapi perkara itu turut dihidu ramai.

“Setakat ini, semua persiapan majlis perkahwinan berjalan lancar termasuk tarikh dan lokasi majlis pernikahan sudahpun ditetapkan. Saya juga akan berkongsi berita baik ini dengan peminat menerusi laman sosial Instagram nanti,” katanya.

Apapun, kata Nazim, majlis perkahwinannya juga bakal berlangsung secara sederhana saja.

“Saya tidak memerlukan publisiti yang meluas dan cukuplah majlis yang sederhana saja. Saya juga hanya mengundang mereka yang rapat dan saya kenal saja untuk meraikan majlis pernikahan nanti.

“Pada masa sama, saya juga ingin mengundang pihak media yang banyak menyokong saya ketika susah dan jatuh sakit dulu untuk membuat liputan hari bahagia kami nanti,” katanya.

Majlis pertunangan Nazim dan Bella berlangsung sederhana di kediaman pelakon itu di Kota Kinabalu, Sabah tanggal 14 November 2015.

Menurut Nazim, dia juga berkongsi berita majlis pertunangannya itu dengan peminat di Instagram sebelum ini.

“Saya melamar Bella ketika menjalani penggambaran drama Akulah Balqis di Langkawi pada 26 Oktober tahun lalu. Keluarga saya bertemu keluarga Bella di Kota Kinabalu ketika saya terbabit dengan penggambaran drama di Korea Selatan ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:09 AM