ANTARA suspek yang ditahan dalam serbuan di kebun kelapa sawit pagi semalam. FOTO ihsan polis
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Seramai 15 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang sedang leka menghisap dadah ditahan di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Parit Berong, Senggarang di sini, 7 pagi semalam.

Semua penagih yang ditahan berusia antara 18 hingga 67 tahun dan berasal dari sekitar kawasan Senggarang dan Rengit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, Operasi Ops Tapis itu dianggotai oleh 10 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik , Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bersama enam anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurut Wahib, ketika serbuan semua suspek sedang 'lalok' dipercayai dibawah pengaruh dadah jenis Heroin dan Syabu.

"Mereka yang pada awalnya cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan walaupun berlaku sedikit pergelutan," katanya.

Menurutnya, dadah jenis heroin seberat 3.22 gram (g) dan syabu seberat 0.2 g bernilai lebih RM300 turut dirampas.

Mereka yang ditahan dibawa ke IPD Batu Pahat dan kes disiasat mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB), Seksyen 12 ADB, Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 3(1), Akta Pencegahan Dadah (APD) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 10:09 AM