Pokok pisang yang sudah mati selepas ditebang dua bulan lalu, mengeluarkan setandan pisang di bahagian batangnya. - Foto Bernama
Pokok pisang yang sudah mati selepas ditebang dua bulan lalu, mengeluarkan setandan pisang di bahagian batangnya. - Foto Bernama
BERNAMA

Teluk Intan: Sepasang suami isteri di Kampung Sungai Lampam dekat sini, terkejut apabila pokok pisang sudah reput selepas ditebang dua bulan lalu, mengeluarkan setandan pisang kecil di bahagian batangnya.

Shahrudin Nasir, 53, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak berkata, pokok pisang yang sudah mati itu terletak di belakang rumah pusaka keluarganya dan hanya tinggal batang setinggi hampir satu meter.

Beliau dan isteri, Azimah Ibrahim, 36, nyata terkejut dengan kejadian aneh itu apabila pokok yang sudah mati itu berputik sebelum menjadi setandan pisang.

Shahrudin berkata kejadian pelik itu disedari isterinya ketika mereka membersihkan laman belakang rumah berkenaan 30 petang semalam.

Menetap di pekan Langkap, tidak jauh dari sini, beliau dan isteri sering menjenguk rumah pusaka keluarganya bagi membersihkan kediaman itu kerana ibunya yang uzur masih tinggal di rumah berkenaan ditemani kakaknya.

Menurutnya, perkara itu kali pertama dilihatnya dan mustahil pisang boleh berbuah memandangkan pokok itu sudah mati.

"Kejadian ini pelik dan ia mungkin juga rezeki kami untuk melihat kekuasaan Allah," katanya yang hendak melihat kesudahan pokok pisang itu yang ketika ini mengeluarkan empat sisir pisang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:37 PM