MAZLAN (kiri) menunjukkan pil kuda dan wang tunai yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan.
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Polis Kelantan menahan enam individu termasuk dua wanita dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sini.

Semua mereka ditahan dalam tiga operasi berasingan sejak 10 Disember lalu hingga semalam.

Penahanan mereka turut membawa kepada rampasan pil kuda, kenderaan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM116,407.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan berusia antara 19 hingga 25 tahun.

"Mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan di Kubang Kerian, Jalan Pintu Pong dan Kampung Cherang, di sini.

"Masing-masing disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini tadi.

Mazlan berkata, percaya dengan tertangkapnya semua suspek dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 3:48 PM