Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin


Siapa kata orang kita kurang kesedaran mengenai isu kesihatan? Tanyalah sesiapa saja, semua orang tahu bahawa kita perlu menjaga pemakanan dan selalu bersenam untuk mengekalkan serta meningkatkan tahap kesihatan.

Namun kesedaran dan amalan adalah dua perkara berbeza, yang agak sukar untuk berjalan seiring. Dalam soal selidik terbaru yang dijalankan Sun Life Financial Asia mendedahkan rata-rata penduduk Malaysia mendakwa bahawa tahap kesihatan menjadi agenda penting dalam hidup mereka namun pengakuan ini agak berbeza dengan keadaan sebenar.

Ini kerana walaupun ada kesedaran, satu daripada empat rakyat Malaysia termasuk dalam kategori gemuk atau obes. Dalam isu kurang motivasi untuk memulakan dan mengekalkan gaya hidup aktif, masyarakat kita tidak jauh berbeza dengan rakyat negara maju dan menduduki tangga ketiga selepas Hong Kong dan Singapura.

Dalam senarai lapan negara yang terbabit dalam soal selidik berkenaan, Filipina menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menduduki tangga pertama dalam aspek motivasi (85 peratus) manakala Hong Kong, Singapura dan Malaysia pula berada di tiga kedudukan terakhir dengan masing-masing 51 peratus, 55 peratus dan 67 peratus.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada kurangnya motivasi ini seperti kesibukan kerja, tekanan dan kemewahan makanan-yang semuanya mendekatkan kita dengan masalah kegemukan dan pelbagai penyakit gaya hidup.

"Daripada soal selidik ini, kita melihat lahirnya generasi baru di Asia yang dipanggil 'Generasi O'-terlalu banyak kerja, terlalu tertekan dan berlebihan berat badan. Bagi penduduk Malaysia, rata-ratanya terlalu banyak makan.

"Ramai rakyat Malaysia mahu membuat perubahan terutamanya bagi aspek yang berada dalam kawalan mereka seperti bersenam, pemakanan dan pengurusan tekanan. Bagaimanapun keinginan itu belum mampu direalisasikan sepenuhnya untuk dijadikan gaya hidup baru," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Assurance Berhad, Ooi Say Teng.

Namun masyarakat negara ini menunjukkan kebimbangan mereka terhadap pemakanan dan berat badan di mana:

* Satu pertiga (33 peratus) mengakui mengamalkan pemakanan tidak sihat, berada di belakang Filipina (45 peratus) dan Thailand (39 peratus).

* Lebih satu perempat (28 peratus) mengakui mengalami masalah berat badan-sama ada gemuk atau obes.

* Menduduki tangga kedua yang mengalami masalah paras kolesterol tinggi selepas Thailand.

Kebimbangan ini juga turut membabitkan isu kesihatan berkaitan pemakanan seperti senaman dan diabetes:

• Penduduk Malaysia paling kurang melakukan senaman secara berkala.

• Malah penduduk negara ini juga didapati paling tidak berpuas hati dengan kadar senaman mereka dan kebanyakannya mengakui ia adalah perkara pertama yang hendak diubah.

• Daripada pelbagai isu kesihatan, penduduk negara ini melihat kegemukan atau obesiti sebagai isu yang dialami setiap orang.

• Empat masalah kesihatan utama yang ada dalam kebanyakan keluarga di negara ini ialah diabetes (37 peratus), kegemukan atau obesiti (29 peratus), sakit sendi atau otot yang teruk (27 peratus) dan sakit jantung, serangan jantung atau strok (24 peratus).

• Mereka mengatakan bahawa serangan jantung, penyakit jantung atau strok dan diabetes-adalah pe-nyakit yang paling dibimbangi.

Apabila ditanya apakah halangan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas, masyarakat kita memberikan jawapan yang agak seragam iaitu tiada masa kerana terlalu sibuk bekerja dan menunaikan tanggungjawab pada keluarga serta kurang motivasi.

Sedangkan ada banyak langkah kecil yang boleh dilakukan untuk memperbaiki tahap kesihatan sama ada bagi jangka pendek mahu pun panjang dengan lebih memberi perhatian kepada pemakanan dan tabiat harian.

"Kami di Sun Life bimbang dengan keadaan sekarang khususnya yang berlaku pada 'Generasi O'. Kami mahu meningkatkan kesedaran pada mereka supaya mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tahap kesihatan melalui perubahan tabiat bagi menambah baik keadaan fizikal sekali gus 'kesihatan' kewangan," katanya.

Soal selidik berkenaan juga menunjukkan walaupun secara umumnya rata-rata penduduk negara ini boleh mengaitkan corak gaya hidup dengan tahap kesihatan, tetapi ramai yang kurang sedar bahawa kos penjagaan kesihatan sebenarnya amat tinggi dan boleh membebankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:00 AM