Lee melawat pameran sempena Program Komuniti Sihat dan Komuniti Sejahtera 2016 anjuran MCPF di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengkaji semula akta serta hukuman yang dikenakan kepada pesalah dadah berikutan gejala pengedaran dan penagihan dadah semakin serius di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan perlu melakukan pindaan terhadap akta serta undang-undang sedia ada berkaitan dadah kerana akta sedia ada kini dilihat kurang berkesan.

Katanya, kerajaan perlukan strategi, wawasan dan hala tuju baru dalam memperkemaskan empat aspek iaitu pencegahan, pemulihan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama antarabangsa dalam membanteras dadah.

"Sebagai contoh, kita kenakan hukuman mati mandatori kepada warga asing yang masuk mengedar dadah ke negara ini, dan hukuman yang dikenakan ini menunjukkan kita serius membanteras dadah, namun masih ada yang cuba membawa masuk dadah ke negara ini.

"Ini menunjukkan mereka tidak takut walaupun berhadapan dengan hukuman mati, jadi pada saya, kerajaan perlukan satu tranformasi baru yang lebih berkesan dalam menguatkuasakan undang-undang untuk menangani isu ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Komuniti Sihat dan Kommuniti Sejahtera 2016 di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKB) di sini tadi.

Hadir sama, Pengerusi MCPF Kelantan, Datuk Abd Aziz Nawi dan Pengarah IPGKB Hashim Deraman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 8:10 PM