BARISAN pelakon filem Terbaik Dari Langit pada sesi pratonton baru-baru ini.
BARISAN pelakon filem Terbaik Dari Langit pada sesi pratonton baru-baru ini.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas berjaya mencipta kejayaan berganda menerusi filem sulungnya, KIL yang memenangi banyak anugerah, kini Nik Amir Mustapha mempertaruhkan filem terbarunya Terbaik Dari Langit.

Nik Amir yang turut dinobatkan pemenang Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik Festival Filem Ke-26 (FFM26) baru-baru ini mengakui apa yang pasti dia sudah melakukan yang terbaik untuk karyanya itu.

"Berbanding KIL yang dihasilkan dalam skala kecil, filem Terbaik Dari Langit ini pula saya anggap ia langkah berani diambil untuk mengarahkan filem ber­skala besar.

"Mengambil kira pe­ngalaman lalu juga, saya berusaha memperbaiki mana yang kurang dan mengharapkan filem ini akan diterima baik penonton.

"Justeru, untuk filem ini juga saya berusaha sebaik mungkin dalam penghasilan jalan ceritanya. Bahkan, untuk memantapkan skrip saya berganding bahu dengan pelakon Redza Minhat," katanya.

Meskipun menyedari kutipan kepada filem Melayu merudum di pawagam, namun, Nik Amir berkata, dia tidak sesekali mudah berputus asa.

Katanya, perjuangan menghasilkan karya seni perlu diteruskan dan bagi mendapat keyakinan penonton dia perlu tingkat usaha menghasilkan satu karya yang bagus serta bermutu.

"Ditambah, persaingan sengit juga dihadapi apabila filem tempatan dihasilkan perlu bersaing dengan filem luar negara terutama Hollywood yang bajetnya lebih besar.

"Kini, apa yang cuba dilakukan juga adalah memantapkan rangka promosi dan publisiti Terbaik Dari Langit ini lebih meluas. Malah, kerjasama media amat diperlukan," katanya.

Menurut Nik Amir, peranan media juga sangat besar dalam membantu mempromosikan filem tempatan kepada masyarakat. Katanya, dengan bantuan publisiti diberikan ia cukup membantu.

Kata sutradara muda berusia 29 tahun ini, bagi menghasilkan yang terbaik untuk karya Terbaik Dari Langit itu, persediaan dilakukan enam bulan lebih awal sebelum penggambaran bermula.

"Bagi memastikan setiap pelakon dapat memahami kehendak karakter masing-masing, segala persediaan dilakukan awal.

"Umpamanya, pelakon Bront Palarae terpaksa berdiet untuk menurunkan berat badan bagi memenuhi kehendak wataknya. Begitu juga dengan Megat Sharizal yang perlu menaikkan berat badannya.

"Apapun, selain jalan cerita saya juga yakin kekuatan Terbaik Dari La­ngit turut disumbangkan dengan keserasian barisan pelakon," katanya.

Menurut Nik Amir lagi, dia seronok dapat menghasilkan Terbaik Dari Langit kerana bekerjasama dengan barisan pelakon berkaliber tanah air yang memberikan komitmen terbaik.

Bersandarkan bajet pembikinan melebihi RM1 juta, Terbaik Dari Langit diterbitkan produksi Astro Shaw dan menjalani proses penggambaran selama 35 hari di lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Mengangkat kisah persahabatan, Terbaik Dari Langit dibintangi pelakon seperti Bront, Megat Sharizal, Iedil Putra, Nadiya Nisaa, Amerul Affendi, Sharifah Armani dan Siti Saleha.

Filem ini juga akan mengubat rindu penonton pada lakonan mantap figura filem Melayu terkenal, Allahyarham Datuk Aziz Satar sebagai penampilan khas.

Terbaik Dari Langit memaparkan kisah empat sekawan iaitu Hafiz Sufian atau Berg (Bront), Ijam (Iedil Putra), Ali (Megat Sharizal) dan Toyu (Amerul Affendi).

Mereka yang sudah terpisah selama 15 tahun akhirnya bersatu semula dan Berg, seorang pembikin filem mahu rakan-rakannya turut sama terbabit dalam filem pendeknya.

Yakin dengan kemunculan makhluk asing dan UFO, Berg mahu mencarinya semula kerana pernah melihat ketika dia dan rakan-rakannya keluar dari kawasan asrama sekolah di waktu malam.

Apakah impian Berg yang dibantu rakan-rakannya menyiapkan filem pendek itu akan berhasil?

Banyak perkara menarik berlaku yang membuatkan penonton tahu apa itu erti persahabatan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:00 AM