BERNARD (tengah) bersama pelakon dan tenaga produksi Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Oleh Ramlah Zainal


Kekuatan kisah cinta dan elemen kekeluargaan yang dipaparkan menjadi tarikan dalam filem genre romantik komedi Manisnya Cinta Di Cappadocia (MCDC) yang mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 11 Disember lalu.

Apa yang menarik, filem garapan Bernard Chauly yang diadaptasi dari novel karya Anis Ayuni ini mempertaruhkan gandingan mantap aktres hebat Nur Fazura dan Shaheizy Sam selaku teraju utamanya.

Barisan pelakon berkaliber yang memantapkan lagi filem ini ialah aktres Lisa Surihani (Izelea), Faizal Hussein (Bakhtiar), Eja (Aida), Rafidah Abdullah (Dhivia), Fauziah Datuk Ahmad Daud (Mak Ifti), Zaibo (Ayah Ifti), Normah Damanhuri (Mak Long), Aida Khalida (Mak Su Ida) dan Rykarl Iskandar.

Filem ini terbitan bersama Global Station Sdn Bhd, Red Films dan Astro Shaw.

Selaku penerbit, Datin Zaiton Muhd Jiwa mengakui filem MCDC juga sesuai untuk sajian hiburan seisi keluarga.

"Berbeza dengan filem urban lain seperti Istanbul Aku Datang, MCDC mengetengahkan elemen kekeluargaan yang menarik seperti pengorbanan wanita muda iaitu Ifti Liyana yang sanggup mengambil alih menjaga anak kakaknya, Aida yang sudah meninggal dunia dan isu ganti tikar yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu.

"Saya berharap penggemar filem tempatan tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk menonton filem ini di pawagam berhampiran.

"Ibu bapa yang masih tercari-cari filem yang sesuai untuk menonton bersama anak-anak bolehlah membawa mereka ke pawagam berhampiran pada musim cuti sekolah ini kerana ada mesej kekeluargaan yang ingin disampaikan pada penonton dalam naskhah ini," katanya.

Pada masa sama, Zaiton mengakui dia berpuas hati dengan komitmen terbaik yang diberikan pengarah, barisan pelakon dan kru untuk merealisasikan filem berkenaan seperti dikehendaki skripnya.

"Ia membabitkan kerja secara berpasukan bagi memastikan penggambaran berjalan lancar di lokasi menarik di Anatolia dan Cappadocia serta kerjasama dengan Turkish Tourism. Cappadocia ialah lokasi romantik untuk pasangan kekasih dengan belon panas di tengah pemandangan indah di bumi Turki.

"Proses penggambaran filem ini membabitkan tempoh sebulan dengan turut membabitkan lokasi sekitar Lembah Klang," katanya.

Puas hati sambutan MCDC

Baru lima hari menjengah pawagam tanah air, filem MCDC dilaporkan mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton.

Bukan saja ramai yang terkesan dengan lakonan Fazura, penampilan barisan pelakon lain juga tidak kurang hebatnya dalam menjayakan filem berkenan.

"Jika Fazura berjaya menyentuh hati penonton dengan watak utama iaitu Ifti Liyana, Eja juga tidak kurang hebatnya melakonkan watak kakak Ifti iaitu Aida, ibu dua anak yang menderita penyakit kanser," katanya.

Ditanya sasaran dari segi kutipan pula, kata Zaiton, dia berharap filem itu akan mencecah kutipan pecah panggung nanti.

"Saya percaya jumlah kutipan akan terus meningkat sehinggalah tempoh wajib tayang berakhir nanti.

"Justeru, kepada peminat yang belum menonton filem ini, jangan lepaskan peluang menonton filem MCDC di pawagam," kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:01 AM