Keadaan jerebu di sekitar Kuala Lumpur yang dirakam pada 2 petang tadi. FOTO Sairien Nafis
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Jerebu di ibu negara mencatatkan peningkatan apabila dua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 99 dan 93 setakat 4 petang tadi berbanding 88 dan 90 satu jam sebelumnya.

Menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), bacaan berkenaan direkodkan di Batu Muda dan Cheras iaitu berada pada tahap sederhana tetapi tidak menjejaskan kesihatan.

Kualiti udara tidak sihat direkodkan pada bacaan IPU 101 hingga 200.

Kawasan lain yang turut mencatatkan status kualiti udara sederhana pada bacaan antara 51 hingga 100 ialah Kota Tinggi, Larkin Lama, Muar dan Pasir Gudang di Johor.

Kawasan di Selangor yang mencatatkan tahap IPU sederhana ialah di Banting, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Selain itu, turut berada pada tahap sederhana ialah Bandaraya Melaka, Bukit Rambai, Nilai, Port Dickson dan Seremban.

JAS dalam kenyataannya berkata, pihaknya memantau status kualiti udara di seluruh negara berikutan kejadian jerebu masih tidak menentu disebabkan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 5:07 PM