X
Jenazah Azim Hakimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Jenazah Azim Hakimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Jenazah pelajar lelaki yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 (2), di sini selamat dikebumikan kira-kira 5 petang tadi.

Jenazah Azim Hakimi Abu Shuja, 15, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini, yang turut dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga terdekat, guru dan rakan sekolah.

Terdahulu, jenazahdimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya (HPj) sebelum disembahyangkan di surau berdekatan kawasan perkuburan di sini.

Suasana sedih menyelubungi seluruh kawasan perkuburan, sebaik jenazah dimasukkan ke liang lahad.

Kira-kira jam 9.40 pagi tadi, mangsa dipercayai terjatuh ketika cuba mengambil beg rakan yang dibuang oleh rakan lain dan gagal untuk mengawal diri lalu terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, mayat mangsa kemudian dibawa ke HPj untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 6:05 PM