Anggota bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian letupan di rumah di Taman Saga, Meru, 21 Ogos lalu. FOTO Muhammad Sulaiman. (Gambar fail)
Ayusliza Azizan


Klang: Tan Bee Bee, 48, yang melecur 80 peratus selepas rumahnya meletup dipercayai akibat kebocoran gas di Taman Saga, Meru, 21 Ogos lalu menghembuskan nafas terakhir petang semalam.

Bee Bee menghembuskan nafas terakhir pada 6.30 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Adik iparnya, Ee Kok Keong, 41, berkata, kadar denyutan jantung kakak iparnya itu meningkat pada pagi semalam sebelum dia meninggal dunia petang berkenaan.

Bagaimanapun, abangnya Ee Kok Ming, 50, yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh dalam keadaan stabil.

"Saya sempat beritahu mengenai keadaan abang saya kepada kakak ipar sebelum dia 'pergi'.

"Abang saya semakin pulih namun dia akan menjalani beberapa pembedahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kakak iparnya itu akan disemadikan di rumah pengebumian Tian En Dao Tang, Klang selepas mayatnya dibakar di Taman Bliss, Setia Alam esok.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, bukan saja memusnahkan hampir keseluruhan rumah teres dua tingkat pasangan itu malah lapan kediaman berdekatan mengalami kerosakan antaranya keretakan dinding, siling serta cermin tingkap pecah.

Sebelum kejadian Tan dan suaminya sedang menyiapkan yong taufu yang mahu dijual di gerai di sebuah kopitiam di Klang Utama.

Bagaimanapun berlaku letupan dipercayai akibat kebocoran gas di dapur rumah hingga mengakibatkan sebahagian besar struktur bumbung dan bahagian depan kediaman itu runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 9:32 PM