PEMAIN THT ceria selepas berjaya merangkul Piala TNB.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Terengganu Hockey Team (THT) muncul kuasa baru saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila menjulang Piala TNB semalam, yang kedua pada musim ini selepas mengungguli saingan liga.

Pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, THT dibimbing Sarjit Singh menewaskan juara bertahan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menerusi penentuan penalti 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa sebenar.

Bagaimanapun kemenangan diraih THT bukan mudah apabila KLHC mengheret mereka ke penentuan penalti selepas berjaya bangkit meledak tiga gol pada suku keempat perlawanan untuk mengikat kedudukan 3-3.

“Saya harus berikan pujian kepada barisan pemain. Sebab meskipun kami diheret hingga ke penentuan penalti, pemain tetap tenang dan akhirnya kemenangan memihak kepada kami,” kata Sarjit ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

THT dilihat mudah untuk menjulang piala berprestij itu apabila mendahului 3-0 selepas berakhir dua suku pertama.

Gol-gol THT dijaringkan Faizal Saari pada minit keenam dan 31 serta adiknya, Fitri Saari minit kesembilan.

Tetapi KLHC berjaya merapatkan jurang pada suku terakhir hasil gol Muhammad Razie Abd Rahim minit ke-51 dan 55 serta Mohd Syamim Yusof minit ke-59.

Dengan kejayaan berganda itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat yang turut hadir pada perlawanan semalam berkata, setiap pemain serta pengurusan THT bakal menerima habuan wang tunai RM8,000.

“Perkara ini sudah lama diputuskan. Ia bagi menghargai sumbangan setiap pemain yang mengharumkan nama Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:01 AM