NOR Mohamed (kanan) bersama Charon melancarkan Laporan Keadaan Isi Rumah edisi kedua, semalam.
NOR Mohamed (kanan) bersama Charon melancarkan Laporan Keadaan Isi Rumah edisi kedua, semalam.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Pendapatan isi rumah di Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan pendapatan purata sebulan sebanyak RM6,141 di samping paras median meningkat kepada RM4,585 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal setiap rakyat berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.4 peratus.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), dalam tempoh berkenaan mendapati purata dan median pendapatan isi rumah mengalami pertumbuhan lebih cepat daripada KDNK pada paras 10.8 peratus dan 12.4 peratus masing-masing dalam tempoh sama yang direkodkan.

Selain itu, purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat sebanyak RM1,141 manakala pendapatan median menunjukkan peningkatan RM959 sebulan yang dilihat begitu efektif dalam mengurangkan kadar kemiskinan kepada 0.6 peratus pada 2014 berbanding 1.7 peratus pada 2012.

“Akses kepada infrastruktur terus berkembang baik khususnya kepada penduduk di Kedah, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu dengan kemudahan paip air yang terletak tidak jauh dari kawasan sekolah menengah dan fasiliti kesihatan.

“Lebih penting lagi, golongan miskin tegar juga semakin hampir untuk dihapuskan di mana hanya 400 isi rumah sahaja yang masih berada dalam kumpulan ini,” kata Laporan Keadaan Isi Rumah edisi kedua yang dilancarkan di sini, semalam.

Pelancaran buku itu disempurnakan Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sambil disaksikan Pengarah Urusannya, Datuk Charon Mokhzani. Laporan itu dibahagikan kepada tiga tema merangkumi isi rumah dan pendapatan isi rumah, tenaga kerja oleh golongan wanita serta populasi golongan tua.

Meskipun Malaysia diduga dengan ketidaktentuan ekonomi pada 2014 dan 2015 seperti kejatuhan harga komoditi, persekitaran dagangan global yang perlahan dan kedudukan rendah ringgit, namun ia bukan penghalang kepada pertumbuhan cemerlang ekonomi negara.

Sejak 1980 hingga 2015, KDNK nominal meningkat sehingga 22 kali ganda iaitu daripada RM53.5 bilion kepada RM1.2 trilion. KDNK nominal setiap rakyat berkembang 9.9 kali dalam tempoh sama. Selain itu, prestasi yang dicapai negara adalah lebih tinggi berbanding purata negara berpendapatan sederhana tinggi seperti Brazil, Mexico dan Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 7:40 AM