AHMAD Shabery mencuba mesin pemprosesan sabut kelapa.
AHMAD Shabery mencuba mesin pemprosesan sabut kelapa.
Mohamad Hussin

Tanaman kelapa penting kerana ia penyumbang utama kepada sosio-ekonomi negara khususnya membasmi kemiskinan dalam kalangan pekebun kecil.

Ia juga penting bagi memenuhi keperluan kelapa segar dan kelapa proses untuk membuat makanan berasaskan kelapa, selain mampu menjana sumber pertumbuhan baru seperti industri minyak kelapa dara (VOC).

Pada tahun 2007, Malaysia mempunyai 109,185 hektar kebun kelapa membabitkan 80,000 keluarga tani yang menghasilkan 382 juta biji berdasarkan hasil purata kelapa 3,500 biji/hektar/tahun.

Sebahagian besar varieti yang ditanam daripada jenis tradisional seperti Malayan Tall (92 peratus), manakala bakinya daripada jenis hibrid komersial seperti MATAG (lima peratus), pandan (dua peratus) dan MAWAR (satu peratus).

Dianggarkan 61 peratus daripada keluasan kelapa Malaysia terletak di Semenanjung Malaysia. Kawasan utama tanaman kelapa ialah Hilir Perak, Sabak Bernam (Selangor) dan Batu Pahat (Johor) Kudat dan Tawau (Sabah).

Sehubungan itu, Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) dengan kerjasama Fakulti Pertanian UPM mengadakan Bengkel Kelapa Kebangsaan (BKK) 2016 di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Penganjuran bengkel itu mendapat kerjasama dan sokongan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Jabatan Pertanian (DOA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pengerusi BKK Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, bengkel itu dapat memberikan maklum balas terkini senario industri kelapa di Malaysia menerusi penemuan baru dan kegunaannya dalam mengekalkan serta memajukan ekonomi.

Beliau berkata, berdasarkan cabaran dihadapi, usaha memulihkan industri kelapa negara perlu diteruskan dengan strategi meningkatkan produktiviti supaya pendapatan pekebun kecil turut meningkat dan bekalan kelapa negara bertambah bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.

“Antara cabaran utama dihadapi industri kelapa masa kini ialah usia ladang yang tua tidak berganti dengan tanaman baru.

“Hasil kelapa yang rendah disebabkan pokok tua (mengikut kajian sosio skonomi yang dijalankan pada tahun 2006, purata umur kelapa tinggi ialah 55.1 tahun).

“Kekurangan kawasan tanaman/ladang menyebabkan pengeluaran kelapa negara masih tidak mencukupi memenuhi keperluan kelapa segar dan industri pemprosesan.

“Bekalan benih kelapa hibrid masih tidak mencukupi dengan kekuranggan teknologi terkini. Kecenderungan pekebun kecil kelapa menukar kepada tanaman lain dan kos pengeluaran dan pemprosesan yang makin meningkat,” katanya.

Majlis perasmian BKK 2016 disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama, Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, Presiden PAUPM Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalulail dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.

Syed Abd Rahman berkata, antara objektif bengkel ialah mengemas kini perkembangan industri kelapa di Malaysia, membantu kerajaan dan agensi terbabit melaksanakan polisi dalam usaha mencapai pertumbuhan dan perkembangan.

“Membincangkan strategi yang dapat membina platform interaksi dan faedah bersama antara pemegang taruh (stake holders) di Malaysia.

“Menerusi bengkel ini, kami berharap beberapa cadangan atau tindakan perlu dilaksanakan segera dengan menanam semula kawasan kelapa tua yang tidak produktif dengan jenis kelapa yang berhasil tinggi seperti varieti hibrid MATAG yang boleh menghasilkan sehingga 22,000 biji/hektar/tahun.

“Selain itu, penanaman semula dengan kelapa pandan turut digalakkan bagi memenuhi keperluan minuman segar.

“Ia juga dapat mengurangkan pergantungan kepada kelapa import untuk keperluan kelapa segar dalam industri pemprosesan,” katanya.

Menurutnya, dengan memulihkan kawasan kelapa sedia ada yang masih produktif supaya hasil dapat ditingkatkan daripada 3,500 biji/hektar/tahun kepada 7,000 biji/hektar/tahun.

“Kerajaan perlu memandang serius dengan membiayai aktiviti seperti pembaikan saliran, penjarangan dan sulaman pokok tua, pembajaan dan kawalan perosak serta aktiviti integrasi dengan tanaman lain bagi meningkatkan pendapatan pekebun.

“Beberapa kemudahan perlu disediakan termasuk pembinaan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) bertujuan meningkatkan kecekapan pemasaran hasil kelapa di kawasan projek kelompok tanpa melalui orang tengah.

“Meningkatkan penyelidikan dalam aspek pengeluaran dan bekalan benih kelapa hibrid dan kelapa pandan, meningkatkan teknologi baru dan produk hiliran kelapa bagi sektor makanan dan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:48 AM