JAMAL bersama (dari kiri) Ameng, Zamani dan Jamilul.
JAMAL bersama (dari kiri) Ameng, Zamani dan Jamilul.
Ramlah Zainal


Selepas berdepan pelbagai cabaran akhirnya impian penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah untuk mengadakan Konsert 3 Suara bakal menjadi kenyataan.

Konsert berskala besar ini menyaksikan tiga vokalis hebat iaitu Jamal, Zamani Slam dan Ameng Spring berkongsi pentas buat julung kalinya.

Selain tiga penyanyi hebat itu, konsert ini turut menampilkan adik Jamal iaitu Jamilul Hayat yang popular dengan lagu Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Gelora Jiwa.

Ia dibawakan produksi Binjamal Event Sdn Bhd dan bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 hingga 25 September ini, jam 8 malam.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 57, berharap Konsert 3 Suara berjaya seperti yang diimpikannya.

"Saya pernah berada di tempat Zamani dan Ameng satu ketika dulu tetapi masyarakat masih menerima saya.

"Sekarang, sampai masa saya bantu mereka pula.

"Selain vokal hebat, Zamani dan Ameng ada rangkaian lagu malar segar yang menjadi siulan peminat.

"Diharap konsert ini menjadi permulaan yang baik untuk mereka terus kekal dalam industri muzik tanah air," katanya.

Ditanya penampilan Jamilul pula, Jamal berkata dia mahu adiknya kembali aktif menyanyi.

"Jamilul ada bakat besar sebagai penyanyi dan ramai peminat masih meminati lagu dendangannya," katanya.

Mengulas konsep persembahan, kata Jamal ia terbahagi kepada beberapa segmen menarik.

"Saya, Zamani dan Ameng akan menyampakan lagu popular masing-masing. Kami juga akan berduet.

"Menariknya, akan ada segmen beradu suara antara kami. Segmen santai pula kami akan berbual dan menyanyi secara spontan," katanya.

Kutipan untuk Pengasih

Konsert 3 Suara turut menyalurkan sebahagian kutipan jualan tiket kepada Persatuan Pengasih Malaysia.

Menurut Jamal, ia sebagai penghargaan kepada persatuan itu yang banyak membantunya sebelum ini.

"Sebagai penyanyi yang sudah lama berkecimpung dalam bidang muzik, saya bersyukur dikurniakan bakat untuk membantu orang lain.

"Saya tidak dapat beritahu berapa jumlah jualan tiket yang disalurkan kepada Pengasih kerana ia adalah persetujuan bersama kedua-dua pihak," katanya.

Kata Jamal, peminat di laman Facebook dan Instagram turut berpeluang mendapat dua tiket percuma untuk menyaksikan konsert berkenaan.

"Syaratnya, mereka hanya perlu mengajak 50 rakan di FB dan Instagram untuk membeli tiket konsert ini," katanya.

Konsert 3 Suara bakal diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi dan Raja Mohd Sham Raja Saari.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM108, RM158, RM258, RM358 dan RM458.

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman webwww.ilassotickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 11:46 AM