Helmy Abd Rahman


Kuala Nerus: Usaha mencari dan menyelamat Zailan Ibrahim, 28, yang dikhuatiri lemas diteruskan di Pantai Airport, Teluk Ketapang, Kuala Nerus, selepas dihentikan sementara malam tadi.

Mangsa yang berasal dari Kampung Teluk Ketapang di sini, hilang apabila kenu dinaikinya karam selepas dipukul ombak ketika dia bersama rakan memancing kira-kira 300 meter dari pantai, petang semalam.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Che Shaari Abdullah yang mengetuai operasi itu berkata, hasil pencarian, pasukan penyelamat menemui kenu dan peralatan memancing dipercayai milik mangsa kira-kira 200 meter dari tempat dilaporkan hilang.

"Operasi disambung semula 8 pagi tadi, bagaimanapun setakat 1.15 tengah hari, mangsa masih belum ditemui.

"Empat bot fiber dengan kekuatan 21 anggota bomba dan satu bot polis marin dengan lapan anggota masih meneruskan pencarian di laut," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 2:11 PM
EMPAT bot fiber dengan kekuatan 21 anggota bomba dan satu bot polis marin dengan lapan anggota masih meneruskan pencarian. FOTO ihsan Bomba