Senapang yang digunakan seorang lelaki ketika tertembak cucunya. - Foto Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera terkena tembakan dilepaskan datuknya kerana disangka kera dalam dusun buah-buahan Kampung Batu 10, Kampung Mawai Baru, Mawai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.10 pagi itu, lelaki berusia 79 tahun itu melepaskan tembakan selepas ternampak objek bergerak yang disangkanya kera ketika mengawasi dusun berkenaan dengan membawa senapang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, datuk kanak-kanak itu melepaskan satu das tembakan menggunakan peluru penabur ke arah objek yang disangka kera itu dan terkejut apabila terdengar jeritan seseorang yang mengerang kesakitan.

"Lelaki itu terus menuju ke suara berkenaan dan terkejut apabila menyedari dia tertembak cucunya sendiri. Murid tahun empat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu cedera di kepala dan badan serta ada beberapa kesan luka terkena peluru.

Menurut Rahmat, siasatan awal mendapati senjata api berkenaan jenis ‘short gun 32" Simson Double Barrel’ milik lelaki terbabit.

"Lelaki yang bekerja sendiri itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan senjata apinya dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 6:54 PM