DARI kiri, Abdul Wahab, Samian dan Razihan bersama anugerah yang diterima mereka.

Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS) mencatatkan pertumbuhan stabil dengan aset dana melepasi tahap pertumbuhan industri pada kadar 1.3 kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Takaful IKHLAS turut meningkatkan sumbangan syarikat bagi tahun kewangan semasa mencecah RM909 juta berbanding RM829 juta sebelumnya manakala perniagaan takaful keluarga pula menyumbang 68 peratus diikuti takaful am yang mewakili 32 peratus.

Kadar pertumbuhan takaful keluarga juga menggalakkan menerusi produk perubatan dan kesihatan serta produk berkaitan pelaburan.

Pengurus Agensi Kumpulan Takaful IKHLAS, Abdul Wahab Mat Ariff berkata, pihaknya sentiasa membuka peluang melahirkan ramai perunding takaful berjaya.

Menurutnya, pasaran industri takaful masih besar dan lebih kurang 13 peratus saja daripada jumlah penduduk di Malaysia mempunyai perlindungan takaful.

“Kami menyarankan untuk lepasan graduan memilih kerjaya sebagai perunding takaful kerana peluang pasaran yang besar dan berpotensi menjana pendapatan.

“Paling penting, produk takaful tidak hanya mengenai perlindungan perubatan dan nyawa, malah meliputi semua segmen iaitu pengurusan aliran tunai, risiko, pelaburan, cukai dan zakat, persaraan dan pembahagian harta pusaka,” katanya selepas meraikan ejen yang menunjukkan prestasi cemerlang pada Majlis Makan Malam Anugerah, baru-baru ini.

Antara ejen yang menerima anugerah pada malam berkenaan ialah Abdul Wahab Mat Ariff, Samian Senin dan Razihan Che Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 7:20 AM