ANGGOTA tentera Filipina mengusung keranda berisi mayat rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan Abu Sayyaf di Sulu, masuk ke dalam pesawat kargo C-130 di Lapangan Terbang Jolo. - AFP
Agensi

Manila: Filipina semalam mengerahkan lebih ramai askar tambahan ke selatan negara itu dalam usaha memusnahkan kumpulan Abu Sayyaf selepas 15 tenteranya terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas itu kelmarin.

Jurucakap tentera, Major Filemon Tan berkata, seramai 2,500 lagi askar dihantar ke Pulau Jolo dan pulau sekitarnya berikutan kejadian di bandar Patikul, di Sulu.

Menurut sumber tentera, 10 lagi askar cedera dalam kejadian berbalas tembakan selama dua jam yang turut menyaksikan dua anggota kumpulan militan itu mati.

Kira-kira 70 anggota Abu Sayyaf yang terbabit dalam pertempuran semalam diketuai komandernya, Radulan Sahiron, lelaki yang kudung sebelah tangan dan dikehendaki pihak berkuasa Filipina serta Amerika Syarikat.

Menurut Tan, turut terbunuh dalam pertempuran itu ialah seorang pegawai muda berpangkat leftenan yang mengetuai pasukannya.

Presiden Rodrigo Duterte minggu lalu mengarahkan tentera negara itu memburu dan memusnahkan kumpulan berkenaan selepas mereka memenggal seorang penduduk kampung kerana keluarganya terlalu miskin untuk membayar wang tebusan.

Duterte berusaha mengadakan rundingan damai dengan dua kumpulan pemisah Islam terbesar di selatan negara itu, termasuk Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MILF) yang anggotanya disyaki memberi perlindungan dan sokongan ketenteraan kepada Abu Sayyaf di Sulu sebelum ini.

Tamparan yang dialami tentera kelmarin berlaku selepas mereka membunuh 21 anggota Abu Sayyaf, termasuk komander berpengaruhnya, di hutan di Patikul pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Pakar keselamatan berkata, Abu Sayyaf lebih berminat untuk memperoleh puluhan juta dolar menerusi kegiatan penculikan mereka berbanding berjuang untuk menuntut negara Islam.

Dua warga Kanada dan seorang remaja dipenggal kumpulan itu tahun ini. Dua minggu lalu, dua warga Indonesia berjaya melarikan diri dari tahanan. Bagaimanapun, terdapat khabar angin mendakwa, mereka dibebaskan selepas keluarga masing-masing membayar wang tebusan.

Lapan rakyat Indonesia, lapan Filipina, lima Malaysia, seorang Belanda dan seorang Norway masih ditahan kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 9:04 AM