X
FOTO Mohammad Ishak
FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


Jertih: Pelajar lelaki Tingkatan Empat maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Institut Kemahiran Mara (IKM) Alur Lintang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Muhammad Aiman Hakimi Mohd Ashri, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tembila, Besut meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Kampung Raja menghala ke Kampung Batu Tumbuh dan sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Viva dikatakan cuba mengelak daripada melanggar mangsa tetapi jarak yang dekat menyebabkan dia gagal sebelum melanggar mangsa yang jatuh di laluannya.

"Mangsa yaang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 3:27 PM