Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menahan dua penjenayah selepas mengejar kereta dinaiki mereka dari ibu negara hingga ke Plaza Tol Bandar Seri Putra, Kajang, petang tadi.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, dua anggota pasukan Task Force polis Dang Wangi melakukan rondaan mengesan kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu dinaiki tiga lelaki.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya cuba menahan namun suspek bertindak melarikan diri.

Beliau berkata, setibanya di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah hotel di Jalan Ipoh anggota Task Force terserempak anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Sentul dan meminta bantuan menahan kenderaan terbabit.

"Pemandu kereta memecut kereta melarikan diri melalui Jalan Kuching ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

"Ketika berada di berada di lebuh raya kereta suspek cuba menghimpit anggota URB sebelum masuk ke Plaza Tol Bandar Seri Putra, Kajang," katanya.

Katanya, ketika melepasi Plaza Tol Bandar Seri Putra, suspek berpatah balik ke jalan susur keluar menuju Seremban.

"Suspek sekali lagi cuba melanggar anggota URB dan memaksa anggota melepaskan beberapa das tembakan.

"Kereta suspek berjaya ditahan seterusnya berjaya membuat tangkapan ke atas dua suspek manakala seorang lagi melarikan diri.

"Kedua-dua suspek berusia 40-an dan seorang memiliki rekod dikehendaki polis.

"Pemeriksaan lanjut menemui 30 paket dadah disyaki jenis heroin, satu paket dadah jenis syabu dan satu paket disyaki ganja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:53 PM