NORELIANA bersama karyanya.
NORELIANA bersama karyanya.
Kusyi Hirdan


Membaca di laman sosial mengenai galeri seni Pelita Hati mengadakan pameran bertajuk ‘Cerita Kami’ yang menggabungkan empat pelukis muda berbakat negara, penulis terpikat dengan identiti Noreliana Hamzah. Dia membawa identiti ikan!

Pelukis berusia 24 tahun itu sungguh yakin, identiti ikanlah yang menggambarkan dirinya. Tentulah dia ada sebabnya tersendiri.

Walaupun bekerja sebagai pereka grafik, cinta utamanya yang suka melukis sentiasa menjadi tempat utama dalam dirinya untuk melepaskan perasaan. Apa yang dirasa dan difikir, kesedihan, kekecewaan dan inspirasi hidupnya, semuanya dilepas bebas melalui lukisan.

Anak ketiga daripada lapan beradik, sejak kecil Noreliana suka melukis. Pada zaman persekolahan hinggalah ke universiti dia aktif dengan persatuan seni. Apabila mendengar dia bercerita, tampak dia melukis dengan sepenuh perasaannya.

“Minat utama saya dalam menghasilkan karya ialah lukisan alam. Saya menghargai alam semula jadi yang indah. Berasal dari Gua Musang, Kelantan, jadi pemandangan di sana penuh dengan alam semula jadi yang sering menjadi inspirasi saya,” katanya.

Pameran ‘Cerita Kami’ yang disertai Noreliana menampilkan empat lukisannya yang dihasilkan pada 2015 dan 2016. Semuanya abstrak ikan. Dia mengambil masa tiga hari untuk mempersiapkan setiap satu. Menghayati lukisannya dengan penuh perasaan menerusi teknik lukisan timbul yang digunakan, kita seakan-akan mencari makna selari misi yang mahu disampaikan.

Noreliana mengakui, acap kali melukis, hasilannya sentiasa tebal kerana ia penuh dengan emosi yang mahu ia sempurna dan penuh penceritaan.

Apakah inspirasi nasib malang yang menimpa ikan boleh diterjemah khalayak untuk sama-sama mempertahankan keindahan alam daripada tercemar dek manusia sendiri?

Kenapa ikan?

“Ikan berkait dengan emosi saya yang sensitif mengenai alam. Saya amat dekat dengan alam memandangkan di kampung, di belakang rumah saja ada air terjun. Boleh dengar deru air terjun. Saya juga suka memancing dan selalu dapat ikan antaranya ikan buntal. Dari situ, terfikir ikan sebenarnya dekat dengan diri saya dan kenapa tidak saya jadikan identiti,” katanya.

Pada Noreliana, ikan buntal unik sifatnya, ia tersendiri.

“Saya kaitkan ikan buntal dengan isu alam yang tercemar. Apabila sungai kita tercemar, bagaimana nasib si ikan? Itu yang saya rasa dan risau,” katanya.

Untuk pameran seni di Pelita Hati, dua jenis ikan yang ditonjolkan Noreliana iaitu ikan buntal dan ikan todak. Ini pameran ketiga disertai Noreliana selepas dia menamatkan pelajarannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Identiti ikan itu dipilih Noreliana sejak di zaman universiti lagi.

“Waktu itu kami sebagai pelajar disuruh mencari identiti. Kemudian saya terfikir, saya mahu visualkan kenangan saya, sesuatu yang rapat dengan saya tentu saja memori bersama ikan iaitu ikan buntal. Sejak itulah wujudnya identiti ikan dalam karya saya,” katanya.

Tajuk lukisan Noreliana, Breathless, Livelihood, Battle of Survival dan Steadiness seperti sebuah cerita yang saling berkait. Mengenai kepayahan yang dihadapi ikan untuk terus hidup, kehidupan yang perlu diteruskan di samping terus kekal dengan prinsip dan kekuatan diri.

Bagaimana pula Noreliana mendapatkan ilham?

“Saya biasanya buat terlebih dulu, bermain dengan emosi, melukis dan melukis, kemudian baru diberikan tajuk. Seperti semua karya yang saya pamerkan di Pelita Hati ini, saya menegaskan kerisauan terhadap pencemaran alam. Jadi pada warna lukisan itu bukan yang cantik-cantik saja. Ada yang mahu saya naikkan impak kotor. Apabila sungai tercemar dan kotor, kasihanlah nasib si ikan dan penghuni sungai yang lain. Saya bercerita melalui lukisan itu,” katanya.

Noreliana sangat tersentuh dengan sungai tercemar. Zaman kecilnya dan kehidupannya di kampung memang rapat dengan sungai.

“Dulu masa kecil boleh mandi di sungai, tetapi sekarang tak boleh kerana kotor. Dulu ia juga sumber air, sekarang tidak lagi. Sungai juga dulu sumber pendapatan orang kampung, tetapi kerana pencemaran ia semakin hilang fungsinya,” katanya.

Sungai perlu dihargai

Apabila sudah tekad memilih ikan buntal sebagai identiti, Noreliana tidak mahu menoleh ke belakang. Dia makin serasi dengan identiti itu. Alam terutama ikan menggambarkan perjalanan hidupnya dari kecil. Ia kekal dalam kotak kenangannya.

“Saya tak mahu fikir fakta saintifik mengenai ikan buntal, tetapi hanya pengalaman saya bersama ikan itu dan kaitannya dengan alam. Ikan ialah metafora alam dan saling melengkapi kerana itu sungai mesti dihargai,” katanya.

Sebagai pemegang lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari, UiTM, Noreliana gemar karyanya dihasilkan secara halus. Setiap warna diguna dan dilihat. Setiap sentuhan berus dan cat ada makna tersendiri. Ia demi ekspresi dirinya sehinggalah dia betul-betul berpuas hati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 11:30 AM