TERTUDUH (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan memberi sokongan terhadap serangan bom di Kelab Malam Movida, Puchong, Selangor, Jun lalu, serta empat pertuduhan lain.

Mohammad Firdaus Abdullah, 26, didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas iaitu serangan bom terbabit melalui aplikasi Telegram.

Dia turut didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang mencadangkan serangan letupan menggunakan 'dron' terhadap Bukit Aman, Putrajaya dan Kuil Free Mason, Bukit Jalil melalui aplikasi Telegram sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Jalan Padu, Tampoi Industrial Estate, Larkin di sini, antara 17 Jun hingga 29 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda, jika disabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa bagi pertuduhan ketiga menyokong perbuatan pengganas iaitu Islamic States (IS) dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Telegram "Gagak Hitam" atas nama yang sama di tempat sama, antara 25 Mac hingga 17 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang sama, jika sabit kesalahan.

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut didakwa memiliki buku bertajuk ‘Tarbiyah Jihadiyah Jilid 12-16 Asy-Syaikh Dr Abdullah Azzam’ yang juga mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas Daish dan Al-Qaeda.

Bagi perbuatan yang dilakukan di rumah di Jalan Suria Muafakat Utama, Taman Suria Muafakat Utama, Larkin di sini, 4 Ogos lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh faham keempat-empat pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula bagi izin kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu laporan kimia dan pengesahan digital.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh dihukum penjara lima bulan dari tarikh tangkap, 4 Ogos lalu, selepas mengaku bersalah memiliki senjata tiruan ‘Airsoft Gun MK681C2’ di rumah di Seri Seroja, Jalan Persiaran Tanjung di sini, 4 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Muhammad Fadzlan Mohd Noor dan tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Lydiana Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 12:07 PM