ZALMAN melancarkan pelan Xpax Turbo. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) hari ini memperkenalkan pelan Xpax Turbo dengan Internet percuma sehingga 10GB dan data percuma bagi aplikasi Facebook dan Youtube setiap bulan.

Xpax Turbo menawarkan pelan Internet prabayar pada harga RM10 bersama data 1.5GB dan pelan mingguan RM10 yang memberi kelebihan menonton video dalam talian dengan lebih pantas pada waktu malam.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, Xpax Turbo adalah pakej komprehensif dan memberi pelanggan akses kepada perkhidmatan Internet prabayar dengan tawaran serendah RM5.

"Pelanggan Xpax Turbo boleh menikmati sehingga 10GB Internet secara percuma setiap bulan atau 333MB setiap hari bermula 1 hingga 7 pagi.

"Untuk menikmati lebih kuota Internet, pelanggan boleh melanggan satu daripada lima pilihan pelan Internet yang dilengkapi dengan kuota data percuma bagi Facebook dan YouTube pada harga RM5 hingga RM80," katanya pada majlis pelancaran Xpax Turbo di sini, hari ini.

Antara lima pelan yang ditawarkan adalah pelan tiga hari untuk RM5 (300MB), manakala pelan bulanan RM30 (4GB), RM50 (9GB) dan RM80 (15GB).

Pelanggan akan mendapat harga pengenalan secara percuma dan data 200MB berkelajuan tinggi, kredit pramuat RM6 dan kadar panggilan 24 sen setiap minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 1:56 PM