Tujuh yang dibebaskan (menutup muka) daripada tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tujuh individu masing-masing pengurus syarikat pembinaan, pengurus besar projek syarikat cari gali minyak dan lima kontraktor dibebaskan dari tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini berhubung siasatan penyelewengan dan rasuah projek saluran paip.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan mereka dibebaskan hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengemukakan permohonan melanjutkan reman.

Nik Isfahanie turut memerintahkan pengurus syarikat pembinaan dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin ,manakala seorang pengurus besar projek sebuah syarikat cari gali minyak dan lima kontraktor pula dibebaskan masing-masing dengan wang jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.

Sebelum ini, enam daripada tujuh lelaki berkenaan direman selama lima hari bermula 26 Ogos lalu sebelum disambung reman sehingga 30 Ogos lalu.

Selain itu, seorang lagi individu yang juga kontraktor turut ditahan reman selama lima hari bermula 30 Ogos lalu.

Mereka antara sembilan individu yang direman bagi membantu siasatan SPRM terhadap kes penyelewengan membabitkan saluran paip minyak di selatan tanah air itu membabitkan nilai rasuah sejumlah RM7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 6:00 PM