ROYAL Enfield Himalayan.
DIBANGUNKAN bagi kegunaan lasak.
REKA bentuk klasik.
Erywan Norshal

Awal tahun ini, motosikal jenama Royal Enfield melancarkan jentera dua roda kembara menerusi model baharu iaitu Himalayan di India.

Himalayan adalah jentera hasil pengalaman Royal Enfield meneroka laluan di wilayah Himalaya dalam tempoh 60 tahun selain dibangunkan lebih ringkas dan berdaya pergi ke mana-mana sahaja. Ia direka untuk gaya tunggangan ‘adventure’ dan ‘touring’ dengan keupayaan meredah laluan lasak yang ekstrem.

Motosikal baharu daripada jenama terkenal India itu mula menembusi pasaran Indonesia selepas diperkenalkan di Pameran Auto Antarabangsa Indonesia (GIIAS) 2016, baru-baru ini.

Model baharu itu dikuasakan enjin LS 410 yang menggunakan teknologi aci sesondol atas (OVC) bagi penghantaran tork tinggi dan kuasa diperlukan pada putaran seminit (rpm) rendah. Jentera itu menawarkan prestasi lancar dalam gear tinggi biarpun ketika kelajuan rendah, selain memberi kuasa optimum ketika mendaki.

Berdasarkan spesifikasinya, rangkaian kuasa silinder tunggal bersesaran 411cc itu menyalurkan 24.5bhp dengan tork sehingga 32Nm yang menggunakan transmisi lima kelajuan.

Motosikal yang menerapkan reka bentuk klasik itu dipadankan tangki minyak berkapasiti 15 liter sekali gus mampu mencapai jarak sejauh 450km bagi setiap isian penuh.

Malah, kerangkanya dibina jenis penyangga terpisah dupleks (duplex-split cradle) dibangunkan oleh Harris Performance, selain dipadankan suspensi belakang mono­shock dengan sambungan, manakala teleskopik 200 milimeter (mm) bahagian hadapan bagi menawarkan tunggangan lebih selesa.

Jentera itu juga mempunyai kelegaan tanah 220mm yang memberikan keyakinan menunggang untuk menempuhi apa juga cabaran permukaan bumi.

Ia dilengkapi tayar lasak yang memberikan cengkaman terbaik dalam pelbagai keadaan dengan padanan kombinasi ukuran roda tayar 90/90 R21 bagi hadapan dan belakang iaitu 120/90 R17.

Tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera bersaiz 300mm pada roda hadapan dan 240mm di belakang.

Jika dilihat secara kasar, motosikal itu tidaklah dilengkapi ciri teknologi asas. Cuma meter kelajuannya dilengkapi maklumat arah, suhu luar, masa dan jarak perjalanan dan selang servis.

Royal Enfield Himalayan ditawarkan dua pilihan warna iaitu hitam dan putih, selain keupayaan ditunggang sejauh 10,000 kilometer dengan hanya sekali gantian minyak enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:03 AM